Skip to main
Logo Malaysiakini

Neelofa sumbang katil bernilai hampir RM100,000 pada Hospital Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Prihatin dengan penularan wabak Covid-19 di Malaysia, selebrati sensasi Noor Neelofa Mohd Noor tampil menyumbangkan katil berjumlah hampir RM100,000 kepada Hospital Melaka.

Neelofa berkata, pemberian tersebut adala inisiatif untuk membantu petugas barisan hadapan susulan peningkatan kes baru Covid-19 sehingga menyebabkan kekurangan katil di hospital.

“Rasa terpanggil untuk beri bantuan terutama apabila melihat keadaan hospital yang semakin sesak kerana terpaksa menampung jumlah pesakit COVID-19 yang banyak.

“Jadi saya ingin memainkan peranan untuk membantu komuniti dan rakyat Malaysia, sekali gus cuba untuk menangani pandemik ini.

“Saya harap sumbangan yang kecil dan tidak seberapa ini dapat melancarkan proses pemulihan pesakit-pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Hospital Melaka, Neelofa berkata pihaknya merancang untuk memberikan sumbangan kepada beberapa lagi hospital utama di seluruh Malaysia.

“Insya-Allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk membantu sebanyak mana hospital yang boleh,” katanya lagi.

Walaupun terdapat penurunan kes baru Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mengingatkan situasi di Malaysia masih di tahap "amat serius".

Setakat 6 Jun lalu, Noor Hisham berkata penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada kadar 104 peratus, manakala penggunaan katil bukan ICU pada kadar 89 peratus.

Neelofa berharap sumbangannya itu dapat memudahkan petugas barisan hadapan.

 

Selain itu, dia juga menyatakan hasrat untuk membantu orang ramai yang terjejas akibat wabak ini.

Justeru, dia menyarankan sesiapa yang memerlukan bantuan untuk menghubungi Pertubuhan Kasih Neelofa menerusi media sosial rasmi pertubuhan itu atau secara langsung melalui media sosial miliknya.

Pertubuhan Kasih Neelofa adalah pertubuhan kebajikan pertama yang ditubuhkan pengacara terkenal itu.

Sebelum ini, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail beberapa kali didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan.

Pasangan itu pernah dikenakan denda, masing-masing RM20,00 dan RM10,000, kerana kesalahan melanggar SOP PKP bersyarat ketika majlis akad nikah mereka.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan rentas negeri selepas tularnya video memaparkan mereka di sebuah premis karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan. Bagaimanapun, tiada tuduhan rentas negeri dikenakan.

Dia dan ahli keluarganya juga disoal siasat berhubung dakwaan melanggar SOP kerana berkumpul dalam jumlah yang ramai ketika hari pertam Aidilfitri lalu.