Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis cari Sajat untuk saksi kes mahkamah 14 Julai ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman kini dikehendaki polis bagi membantu siasatan pihak berkuasa berhubung kes penipuan maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sajat adalah saksi yang dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya sedang mengesan seorang saksi yang beralamat terakhir di No 2 Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petra Jaya, Selangor bagi menghadiri perbicaraan kes terbabit,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Sajat, 36, diburu pihak berkuasa selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. 

Sajat didakwa sedang bersembunyi di Thailand selepas dikenakan waran tangkap berkenaan.