Skip to main
Logo Malaysiakini

Jaafar harap aksi Boney tunjuk mesra di dada tak jadi isu besar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jaafar Onn tidak terkejut jika aksi kucing peliharaan, Boney, menjilat dadanya menimbulkan reaksi kurang senang oleh masyarakat namun berharap ia tidak dijadikan isu besar.

Kata pelakon, pelawak dan pengacara itu, aksi Boney itu sekadar aksi seekor kucing menunjukkan kemesraan pada tuannya.

Menurut Jaafar sebenarnya video dalam aplikasi TikTok itu adalah rakaman lama dan dimuat naik oleh anak saudaranya yang berusia belasan tahun namun ia ditularkan sebuah akaun Facebook baru-baru ini.

“Biasalah netizen cepat pertikaikan macam-macam. Saya tak hairan sekiranya ada pihak nak lontarkan apa saja pandangan mereka mengenai aksi berkenaan.

“Anak buah saya dah padam video tersebut, namun ia pantas tersebar dan disimpan oleh sesiapa saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semakan portal ini mendapati, video yang dimaksudkan di TikTok @Datuk Jaafar Onn itu sudah diturunkan, namun terdapat perkongsian baru memaparkan kucing sama kira-kira sejam lalu.

Jaafar berkata, Boney kucing yang sangat manja dan sering menghampirinya setiap kali selepas solat. Kucing itu kata Jaafar kemudian akan menjilat tapak kaki atau mukanya.

“Justeru saya pesan pada netizen untuk tidak jadikan ia sebagai isu sebab kucing haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas tuduhan menyeret seekor kucing di atas jalan raya hari ini, dengan nada sedih Jaafar berkata, seseorang manusia berdosa jika menganiaya haiwan.

Katanya, perbuatan menyeksa kucing atau mana-mana haiwan adalah perbuatan tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh dimaafkan.

“Kucing ni mendoakan keselamatan dan rezeki pada manusia yang berbuat baik padanya. Jika haiwan itu dizalimi, kita berdosa,” katanya.

Penganggur terbabit, Azizul Salahuddin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Adilah Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan dengan menyeret seekor kucing di atas jalan pada 3 Jun lalu.