Skip to main
Logo Malaysiakini

Anji mengaku ketagih dadah sejak 9 bulan lalu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ujian saringan air kencing mendapati Anji yang dicekup polis atas dakwaan penyalahgunaan dadah baru-baru ini mengesahkan penyanyi terkenal Indonesia itu positif dadah.

Menurut Ketua Jabatan Antidadah Polis Metro Jakarta Barat, Ronaldo Maradona Siregar, ketika disoal-siasat, Anji, mengaku dia sudah terjebak dengan bahan terlarang itu selama sembilan bulan.

“Dari hasil pemeriksaan dijalankan bermula sekitar September tahun lalu, beraksud, kira-kira lapan hingga sembilan bulan,” katanya dipetik Liputan6.

Pemilik nama sebenar Erdian Aji Prihartanto, yang terkenal dengan lagu Dia dan Bidadari Tanpa Sayap itu didapati positif THC atau Delta-9-tetrahydrocannabinol, sejenis bahan yang terkandung dalam ganja.

“Ini bermaksud, daripada ujian air kencing mendapati ANJ (akronim bagi nama Anji) positif THC dengan bukti yang dijumpai adalah dadah jenis ganja,” katanya.

Bekas vokalis kumpulan Drive itu ditangkap sewaktu pemuzik itu bersendirian di studio muziknya di Cibubur, Jakarta Timur pada 11 Jun lalu.

Penahanan Anji, 42, dilakukan hasil daripada maklumat orang awam. 

Sementara itu, Ronaldo berkata, keluarga Anji telah mengemukakan permintaan untuk proses rawatan dan pemulihan ke atas penyanyi tersebut.

Menurutnya, seseorang yang didakwa memang berhak membuat permohonan untuk menjalani pemulihan.

“Keluarganya mengajukan permohonan untuk proses pemulihan. Apa hasilnya nanti daripada pasukan penilaian bersepadu akan diberikan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya.