Skip to main
Logo Malaysiakini

BCL nafi dijangkiti Covid-19 lepas pulang dari Bali

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari (BCL) tampil menafikan dirinya dijangkiti wabak Covid-19 selepas pulang dari bercuti di Pulau Bali, Indonesia baru-baru ini.

Melalui hantaranya di Instagram, Bunga Citra menjelaskan kronologi keberadaannya sambil mengiringi kenyataan itu secara sinis dengan berkata: “Mohon cari maklumat dengan bijak terlebih dulu sebelum mengeluarkan kenyataan.”

Bunga Citra mendakwa, dia berada di Pulau Bali pada 29 Mei dan pulang pada 2 Jun lalu.

“Perhatian kepada sesiapa yang berkaitan; pertama saya ke Bali pada 29 Mei hingga 2 Jun.

“Kedua, saya sudah melakukan aktiviti bekerja dengan menjalani protokol kesihatan yang ada serta menjalani ujian calitan pada 12 Jun lalu. Keputusannya adalah negatif,” katanya.

Terdahulu, Bunga Citra, 38, berkongsi berita mengenai dirinya yang disahkan positif Covid-19 dalam satu hantaran di Instagram beberapa hari lalu.

Bunga Citra memberikan penjelasan tersebut selepas menerima pelbagai kecaman di akaun media sosialnya itu.

Menurut pelakon My Stupid Boss itu, beberapa penarinya disahkan positif Covid-19 sehari kemudian.

“Beberapa penari dimaklumkan positif pada 13 Jun selepas saya bertemu mereka pada 10 Jun lalu. Saya kemudian jalani ujian PCR lagi pada 14 Jun dan mendapati keputusan ujian adalah positif,” katanya.

Pada hantaran sama, balu kepada Allahyarham pelakon Ashraf Sinclair itu mengajak orang ramai untuk menyebarkan kasih sayang dan bukan kebencian.

“Marilah kita menjadi orang yang lebih cerdas dan bijak. Mari sebarkan kasih sayang, bukan kebencian,” katanya.