Mubarak Majid susah tidur lepas sedar rakan diperdaya scammer RM7,000
Malu dengan apa yang berlaku, pelakon senior Mubarak Majid berkata tidurnya terganggu selepas mengetahui ada rakan-rakan mengalami kerugian kira-kira RM7,000 selepas aplikasi WhatsApp miliknya digodam penipu.
Simpati dengan nasib yang menimpa rakannya itu Mubarak turut menyatakan kesanggupannya untuk cuba membayar semula - sekadar yang termampu - wang pihak terpedaya bagi meringankan sedikit beban mereka.
“Susah nak tidur dibuatnya. Mana tak malu, kawan-kawan sendiri jadi mangsa.
"Ada beberapa kenalan yang mengadu mereka dah buat pemindahan wang seperti diminta scammer itu melalui mesej yang dihantar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Menurut Mubarak, dia juga kesal dan mohon maaf kepada mereka yang menyangka dia dalam kesempitan lalu memindahkan wang ke akaun yang diberikan penipu terbabit.
"Insya-Allah, jika ada rezeki Tuhan berikan pada saya, saya cuba bayar balik mereka mengikut kemampuan," katanya.
Menurut Mubarak lagi dia juga berasa sakit hati kerana diperdaya dan sama-sama menjadi mangsa.
"Saya tak minta perkara seperti ini berlaku,” katanya.
Akses lepas 12 jam
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Mohamad Mubarak Majid itu tidak dapat menganggarkan berapa jumlah kerugian sebenar yang ditanggung mangsa penipu berkenaan.
“Setakat yang saya tahu hari ini, jumlah keseluruhan kerugian adalah kira-kira RM7,000. Mungkin masih ada dalam kalangan mangsa yang belum menyedari perkara sebenar.
“Tapi jika masih ada yang belum maklumkan pada saya, diharap mereka tampil dan buat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Mubarak, 63, turut membuat laporan di Balai Polis Setapak dan Balai Polis Sri Gombak semalam selepas beberapa rakan mula bertanyakan sama ada dia benar-benar memerlukan wang.
Selain itu, dia turut memuat naik perkara berkenaan melalui platform media sosial miliknya.
Kata pelakon drama Cukup Derita itu, dia hanya dapat mengakses kembali aplikasi WhatsApp miliknya kira-kira 12 jam selepas perkara itu selesai dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Menurut Mubarak, perkara itu berpunca daripada tindakannya memberikan nombor kod akses kepada individu yang juga kenalan di Facebook.
“Ada pemilik akaun Facebook yang juga kenalan memaklumkan dia nak tolong betulkan tetapan pada platform media sosial saya. Selepas itu, dia minta saya berikan nombor PIN yang saya terima.
“Tanpa mengesyaki perkara tak baik akan berlaku, saya terus beri kepadanya selepas dapat nombor itu.
"Rupa-rupanya orang itu penyamar dan terus godam WhatsApp saya sebelum menghilangkan diri,” katanya.
Bagaimanapun, kata Mubarak, setakat ini, belum ada satu pun anggota keluarga mahupun sanak-saudara yang tampil mengadu mereka turut menjadi mangsa scammer terbabit.
Menurut Mubarak biasanya mereka memeriksa dulu mesej yang dihantar bagi memastikan kesahihannya bagi mengelak menjadi mangsa penipu.
“Nasib baik ahli keluarga tak ada yang terpedaya. Mereka cepat-cepat hubungi saya dan bertanya bagi memastikan apa yang berlaku,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai