Skip to main
Logo Malaysiakini

Arash Mohd rasa kerdil bila diberi julukan 'Richard Gere Malaysia'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Arash Mohd tidak menjangkakan peminat mula menyamakan lakonannya seperti bintang Hollywood, Richard Gere selepas mereka menonton watak Razman yang dijayakannya melalui drama bersiri Scammer.

Kata Arash, timbul perasaan malu selepas dia diberikan julukan ‘Richard Gere Malaysia’ kerana menganggap dirinya terlalu kerdil untuk disamakan dengan bakat dimiliki aktor tersebut.

“Jika diikutkan, memang agak malu dengan gelaran sedemikian, terutama bila ada peminat samakan dengan bakat besar dari Hollywood.

“Sedangkan pencapaian saya di sini masih terlalu jauh jika nak dibandingkan dengannya,” katanya pada sidang media secara maya drama Scammer hari ini.

Pun begitu, menurutnya, dia mengakui gelaran itu yang paling istimewa pernah diberikan terhadapnya sepanjang dia berkecimpung puluhan tahun dalam industri.

“Apa pun saya akui yang ini merupakan gelaran yang paling tinggi peminat beri kepada saya sepanjang 30 tahun dalam industri lakonan,” katanya.

Scammer berkisahkan watak Johari @ Joe lakonan Kamal Adli sebagai penganalisis antipengubahan wang haram di sebuah bank antarabangsa di Kuala Lumpur.

Tugasnya memantau dan melapor kegiatan pengubahan wang haram dalam kalangan pemegang akaun bank di tempatnya bekerja.

Selepas dibuang kerja, Joe mula terdesak untuk mencari duit. Joe kemudian bertemu semula dengan kekasih lamanya, Amy, seorang peguam bela yang terkemuka.

Amy mahu gunakan kepakaran Joe dalam selok-belok perbankan dan pengubahan wang haram untuk pindahkan duit klien yang cuba lari dari kadar cukai yang tinggi.

Tergoda dengan tawaran gaji yang tinggi, Joe setuju bekerja dengan Amy. Melalui kepakaran Joe, pelanggan mereka dapat memindahkan duit keluar negara tanpa dikesan oleh Bank Negara.

Selain Arash, 51, drama berkenaan turut dijayakan Kamal Adli, Siti Saleha, Fasha Sandha, Hasnul Rahmat dan Jay Iswazir.

Drama Scammer disiarkan di saluran Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 11.00 malam.

Arash, yang popular melalui drama Mr Mama itu pada masa sama berkata, dia menghormati gelaran diberikan selain berterima kasih dan menghargai peminat yang memuji lakonannya melalui Scammer.

“Mungkin ada yang melihat karakter Razman seakan-akan mana-mana lakonan Richard Gere dan itu yang menyebabkan mereka beri gelaran itu.

“Tapi apa yang lebih penting sekarang, saya masih perlu meningkatkan banyak perkara dan perbaiki lagi mutu lakonan saya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai watak Razman, Arash berkata, untuk menjayakan lakonannya itu, dia berdepan beberapa cabaran besar.

“Sewaktu penggambaran ada beberapa kali berlaku percanggahan idea dengan pengarah.

“Pun begitu, selepas berbincang dan bertolak-ansur, saya melihat hasil yang diperolehi memang sangat baik,” katanya.