Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah Ola Bola cipta fenomena di China

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengarah Malaysia Chiu Keng Gan mencipta fenomena apabila karya terbarunya, On Your Mark meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta (RMB13.65 juta) pada hari pertama tayangan filem itu di China.

Jumlah itu meletakkan On Your Mark - yang ditayangkan di 9,000 pawagam di negara itu - pada tangga pertama carta filem di sana.

Astro Shaw dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat semalam filem tersebut telah meraih kutipan hampir RM24 juta (RMB37 juta).

Keng Guan yang menempa nama dengan filem Ola Bola dan The Journey berkata, sebagai pengkarya Malaysia, dia amat bangga apabila karya terbarunya menerima sokongan padu pada hari pertama tayangan di China.

“Saya harap filem ini akan terus berjaya dan saya tidak sabar untuk tayangan di Malaysia tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

On Your Mark yang memulakan tayangan di China pada 18 Jun lalu merupakan filem pertama arahan Keng Guan yang ditayangkan di negara tersebut.

Selain Astro selaku penerbit tunggal dari Malaysia, On Your Mark turut melibatkan sejumlah pihak dari negara itu, antaranya Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film dan Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum).

Untuk tayangan di Malaysia, filem itu turut menggunakan tajuk sama, manakala tayangan antarabangsa dengan tajuk The Great Dad.

On Your Mark membariskan pelakon hebat dari China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhang, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.

Ia berkisahkan seorang anak muda, Xiao Erdong yang bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Namun, cita-cita itu dihalang oleh ayahnya, Xiao Daming yang enggan melihat anaknya kecewa memandangkan dia mungkin mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Xiao Erdong bagaimanapun tidak patah semangat dan melihat dan berlatih di padang tanpa pengetahuan ayahnya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan diraih filem tersebut.

“Astro Shaw mengucapkan tahniah kepada Keng Guan atas kejayaan filem On Your Mark di China. Kami berbesar hati kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada filem ini,” katanya.

Keng Guan bersama pelakon Ola Bola, Bront Palarae

Raja Jastina berkata, pihaknya akan terus komited menyokong bakat tempatan termasuk menyediakan platform untuk mempamerkan karya mereka.

“Kami berharap kejayaan Keng Guan membakar semangat pembikin filem tempatan membawa karya dan industri filem Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Keng Guan pernah mencetuskan kejayaan luar biasa apabila Ola Bola yang diterbitkan pada 2016 mengukir kejayaan besar buat filem Malaysia.

The Journey pula menjadi filem pertama di Malaysia yang menembusi kutipan sebanyak RM17.28 juta serta mendapat pengiktirafan meluas kerana mampu menarik minat penonton tempatan daripada pelbagai kaum, usia dan latar.

Satu lagi karyanya, Think Big Big yang diterbitkan pada 2018 berjaya menembusi pawagam di China dan menjadi filem Malaysia yang mendapat tayangan terbesar dengan 60,079 tayangan di 10,900 pawagam.