Skip to main
Logo Malaysiakini

Fizo, Aniq Suhair antara selebriti turun padang jadi sukarelawan Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Fizo Omar antara penggiat seni yang tidak ketinggalan untuk memanfaatkan waktu terluang semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) ini dengan menjadi sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Pelakon itu melalui Instagram berkata, dia berbesar hati kerana diberi kesempatan untuk menjadi sebahagian daripada sukarelawan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Selangor.

“Alhamdulillah dapat merasai sendiri pengalaman semua petugas barisan depan yang bekerja keras untuk memastikan kita semua divaksin,” katanya.

Menerusi entri tersebut Fizo atau nama penuhnya Wan Hafizol Wan Omar memuat naik rakaman klip video dia menjalankan tugas tersebut.

Pada masa sama, Fizo, 35, turut menyeru semua doktor dan jururawat lain untuk tampil menawarkan khidmat mereka sebagai petugas di PPV tersebut.

“Kepada semua doktor dan jururawat, tolong, kami perlukan sokongan anda di PPV - MIECC. Bayaran disediakan mengikut jam,” katanya.

Selain Fizo, seorang lagi pelakon, Aniq Suhair, 20, baru-baru ini juga memberitahu dia menawarkan diri menjadi sukarelawan bagi menangani Covid-19.

Tolong duduk rumah

Melalui hantarannya di Instagram, pemilik nama penuh Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh itu memaklumkan dia memulakan tugasnya sebagai sukarelawan di Pusat Penilaian Covid-19 (PPC) Stadium Titiwangsa bermula 19 Jun lalu.

“Tarikh 19 Jun 2021 menjadi hari pertama saya merasai sendiri pengalaman seperti mana yang dirasakan petugas barisan depan sejak tahun lalu.

“Secara kebetulan saya cuba memanfaatkan PKP kali ini dengan menjadi sukarelawan.

“Saya tak sangka terpilih dan kemudian diminta untuk bertugas di zon merah di PPC Stadium Titiwangsa,” katanya.

Walaupun timbul kerisauan dan takut, Aniq, 20, berkata dia tetap gembira kerana dapat membantu setiap pesakit yang hadir ke lokasi berkenaan.

“Badan ditenggelami lapisan PPE, hati berasa gementar, takut dan tak sabar pada masa sama. 

"Alhamdulillah, semua pesakit Covid-19 yang datang berada dalam keadaan baik.

“Tapi hati ni sebak bila melihat anak kecil dan warga emas turut hadir. Saya cuma mampu memberi kata-kata semangat dan menceriakan mereka semasa mengambil Vital Sign & SP02.

“Dengan keadaan kes yang semakin meningkat, mari kita sama-sama meringankan beban petugas barisan depan. Kita jaga kita. 

"Tolong duduk di rumah dan sama-sama kita turunkan graf jangkitan,” katanya.