Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Sarah tak rela suara dibandingkan dengan Nabila Razali

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menganggap buah tangan terbaru bersama suaminya, Shuib, membawa maksud terlalu mendalam, Siti Sarah tidak rela nyanyiannya dalam Semakin Benci Semakin Cinta ditukar ganti dengan Nabila Razali.

Sarah berkata demikian selepas ada individu tampil mengecam suaranya yang dianggap ‘tidak moden’ seperti dimiliki penyanyi Nabila.

“Suara moden tu apa sebenarnya ya? Maaf la, Sarah betul-betul tak tahu, tak tahu.

“Untuk pengetahuan adik yang dikasihi, sejujurnya lagu ni terlalu mendalam untuk Sarah dan @shuibsepahtu.

“Tak mungkin Sarah nyanyikan lagu ni dengan orang lain atau Shuib pun dengan orang lain,” katanya.

Malahan pemilik nama penuh Siti Sarah Raissuddin itu berkata, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak ingin membanding-bandingkan vokal yang dimilikinya dengan Nabila mahupun penyanyi lain.

“Maaf dik... Tapi Sarah rasa, tak patut la nak badingkan Sarah dengan mana-mana penyanyi pun. Semua ada kelebihan masing-masing.

“Bagi Sarah, Nabila Razali ke, Mariah Carey ke, Anita Mui ke, Lata Mangeskhar ke, semua ada kelebihan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, seorang netizen meninggalkan luahannya di ruangan komen Instagram Siti Sarah, 36, dengan berkata ada kekurangan pada persembahan penyanyi tersebut.

Kata individu terbabit, Shuib, 36, lebih elok digandingkan dengan Nabila kerana penyanyi itu mempunyai vokal yang ‘moden’ serta lebih digemari oleh BBNU (budak baru nak up).

“Macam Sarah, suara dia tak moden, harap Siti Sarah yang mengandung tak payah sentap,” tulis individu tersebut.

Boleh komen banyak lagi

Semakin Benci Semakin Cinta ciptaan komposer Ajai itu adalah duet kedua Siti Sarah bersama Shuib yang diterbitkan selepas sembilan bulan pasangan itu tampil dengan Cinta Itu Nyawa

Lagu itu distrim di semua platform digital bermula 22 Jun lalu.

Siti Sarah yang mendirikan rumah tangga bersama Shuib pada 27 Feb 2011 kini sedang hamil anak keempat mereka.

Penyanyi lagu Jangan Kau Mimpi itu pada masa sama menegaskan, dia sebenarnya menghormati Nabila kerana penyanyi itu gemar berusaha, tidak mudah putus asa serta bijak mencari peluang dalam bidang muzik.

“Dia pun baik dan hormati Sarah,” katanya.

Terbuka dengan segala pandangan dan kritikan demi memajukan lagi dirinya pada masa depan, Siti Sarah berkata, mungkin individu tersebut boleh menjelaskan lebih terperinci apa yang dimaksudkan.

“Lepas ni saya boleh perbaiki dan cari cikgu vokal yang boleh ajar suara jadi moden. Saya terbuka dengan semua komen sebab nak majukan diri.

“Sebagai penyanyi yang dah dekat 20 tahun ni, Sarah sentiasa nak perbaiki kelemahan vokal, cuma tak tahu pula ada kelas boleh jadikan suara moden.

“Mungkin adik boleh komen banyak lagi atau boleh jelaskan lebih terperinci,” katanya.