Skip to main
Logo Malaysiakini

Aprena bersyukur tidak dihukum kerana belum dapat zuriat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selama empat tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Aprena Manrose bersyukur tiada pihak sengaja menjatuhkan semangatnya daripada terus berusaha untuk mendapatkan zuriat.

Bahkan Aprena berkata dia terharu kerana banyak pihak memberikan sokongan. Selain anggota keluarga sendiri, katanya, rakan-rakan dan peminat juga sangat memahami hajat dia dan suami, Mohd Afiq Hazman untuk mendapatkan cahaya mata.

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi mana-mana individu yang mengecam saya kerana belum melahirkan anak malahan kebanyakannya memberi kata-kata semangat termasuk melalui mesej langsung di Instagram,” katanya.

Pada masa sama dia bersimpati dengan nasib dialami rakan artis, Siti Elizad Sharifuddin, dan mengakui tidak wajar aktres terbabit dipaksa berdepan situasi sedemikian.

Pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat itu juga berharap semua pihak boleh cuba memahami situasi yang dialami oleh wanita yang senasib dengan mereka.

Aprena berkata demikian pada sidang media drama Hatimu Sedingin Salju yang diadakan secara maya semalam.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Siti Elizad akhirnya membuat laporan polis terhadap sebuah akaun media sosial yang memberikan kata-kata kesat kepadanya.

Yakin akan ada rezeki

Individu terbabit juga ‘menghukum’ pelakon Berlari Ke Langit itu kononnya menjadi mandul kerana tidak solat serta menutup aurat. 

Kata Aprena, 28, dia mengakui dalam keadaan sekarang dia tetap tidak boleh mengelak daripada diajukan hal-hal berkaitan zuriat.

Namun, katanya, dia tidak menganggap soalan yang diajukan kepadanya sebagai mengguris hati.

“Tertekan kalau diajukan soalan sebegitu memang ada, biasalah sudah empat tahun berkahwin.

"Jika diikutkan memang saya sendiri teringin untuk ada anak, tapi belum belum ada rezeki nak buat macam mana.

“Nak tak nak kena jawab juga, saya sudah bersedia. Namun, saya percaya kepada Allah SWT, dan Dia akan kurniakan rezeki tu pada saya dan suami suatu hari nanti, Insya-Allah,” katanya.

Aprena yang juga anak kepada penyanyi dangdut terkenal pada era 1990-an, Iwan, berkata dia melihat pelaksanaan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan sebagai satu peluang untuk dia dan suami berusaha mendapatkan zuriat.

Adik kepada pelakon Octavia Manrose serta sepupu kepada Uqasha dan Nelydia Senrose itu juga berkata dia sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam.

“Rawatan dah buat bulan lalu. Ia akan diteruskan untuk bulan ini nanti. Bagaimanapun rawatan apa saya belum boleh kongsikan.

“Insya-Allah, jika berjaya, baru saya bagitahu. Doakan saya,” katanya.