Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis akan panggil selebriti bergelar Datuk didakwa 'kenduri durian'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang artis terkenal bergelar 'Datuk' antara individu yang akan dipanggil polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0, kata laporan

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail dipetik Utusan Online berkata semua mereka yang terlibat majlis sosial di sebuah ladang di Bidor dipercayai pada 24 Jun lalu akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

“Kes melibatkan selebriti dan beberapa individu ini dikesan kira-kira pukul 2 petang tadi (semalam) menerusi gambar tular di laman sosial Facebook.

“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor yang mana kita mendapati terdapat pelanggaran SOP PKP 3.0 yang mana tiada penjarakan sosial di antara individu-individu yang terlibat selain tidak memakai pelitup muka,” katanya, semalam.

Wan Azharuddin berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Katanya, siasatan mendapati gambar berkenaan dirakam individu yang turut serta dalam majlis berkenaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang majlis atau perhimpunan dalam tempoh PKP 3.0 selain mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Menurut Azharuddin lagi, siasatan mendapati majlis itu juga dihadiri ahli peniagaan tempatan dan penduduk kampung serta turut membabitkan aktiviti seperti jamuan dan karaoke.