Skip to main
Logo Malaysiakini

81 produksi terima Dana Kandungan Digital libatkan RM46.99 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebanyak 81 syarikat produksi menerima surat tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM46.99 juta untuk membantu penggiat industri seni dan kreatif negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata penawaran DKD pada kali ini melibatkan empat kategori dana iaitu Dana Filem Cereka, Dana Dokumentari, Dana Pemasaran dan Dana Program TV/OTT yang kesemuanya dijangka mewujudkan 3,175 peluang pekerjaan.

“Tahniah kepada 81 syarikat yang menerima dana hari ini. Kita semua maklum apabila sesebuah syarikat diberikan dana, hasilnya bukan hanya untuk seorang tetapi puluhan lagi pekerja yang berada di belakang tabir,” katanya.

Butiran empat kategori penerima dana adalah seperti berikut:

  1. Dana Filem Cereka untuk 60 syarikat: RM40.55 juta
  2. Dana Dokumentari untuk 7 syarikat: RM1.84 juta
  3. Dana Pemasaran untuk 6 syarikat: RM900,000
  4. Dana Program TV/ OTT Kerjasama Khas ASTRO untuk 8 syarikat: RM3.7 juta

Saifuddin berkata demikian dalam sesi pemakluman penerima surat tawaran DKD yang diadakan secara maya petang tadi.

Menurut Saifuddin inisiatif DKD membolehkan penggiat industri kreatif mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif di pasaran domestik dan global.

“Ia dilaksanakan untuk memudah dan menggalakkan penggiat industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif.

“DKD juga berupaya membangunkan kandungan kreatif yang berdaya saing sebagai sumber pendapatan negara dalam mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, sekali gus meningkatkan penghasilan harta intelek kandungan kreatif Malaysia yang berdaya saing,” katanya.

Hadapi perang belum selesai

Pada masa sama, Saifuddin berkata, sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan dalam industri seni dan kreatif melalui peruntukan RM100 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Saifuddin berkata, manfaat Pemulih akan dinikmati oleh penggiat industri kreatif negara melalui jabatan serta agensi di bawah kementeriannya seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana).

Menurutnya, jabatan serta agensi-agensi terbabit akan melaksanakan 13 inisiatif utama dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan promosi, serta produksi di televisyen dan radio.

“Inisiatif ini menyasarkan lebih 8,000 penerima manfaat dari pelbagai bidang antaranya penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, pencipta lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, syarikat penerbitan dan kru produksi dan teknikal di belakang tabir,” katanya.

Menurut Saifuddin, peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk meneruskan program-program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) yang sedang dilaksanakan sejak bulan Feb lalu.

Pada masa sama katanya, seramai 11,460 tenaga kerja di bawah syarikat-syarikat produksi penerima DKD Finas bakal menerima caruman perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso melalui Inisiatif Caruman Tenaga Produksi.

Selain itu, Saifuddin berkata, dalam menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19, kerajaan juga menyedari keperluan sokongan psikososial semasa semua rakyat menghadapi perang yang belum selesai.

Justeru katanya, berdasarkan keperluan itu, RTM akan mengadakan slot khas kesihatan mental yang disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia setiap hari.

“Saya juga harap bahawa peruntukan sebanyak RM15 juta kepada NGO sebagai rakan strategik kerajaan untuk menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin Pelan Pemulihan Negara secara berperingkat yang disokong dengan Pemulih untuk membela kelangsungan hidup rakyat dan kelestarian pelbagai industri yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mampu membawa kita keluar daripada pandemik ini.

“Pada masa sama, kita juga perlu mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan terutamanya dalam pendigitalan, e-dagang dan industri kreatif untuk terus meningkatkan kemahiran ekonomi digital serta memperkayakan penghasilan karya tempatan,” katanya.