Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Hikayat 'sumpahan' terhantuk dan tengadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Kata orang, Melayu itu ada satu sikap yang selalu diulang-ulang, iaitu apabila dah terhantuk baru sibuk nak tengadah.

Masalah terbesar yang dihadapi oleh Melayu Islam kita ini sebetulnya bukanlah berpunca daripada Vatican, Perang Salib mahupun Cina DAP. Sebaliknya disebabkan oleh perangai dan sikap orang itu sendiri dalam kesesatan yang nyata pada sastera dan seni.

Segala kemelut politik, perebutan kuasa, kepandiran mengurus, hinggakan kejatuhan sesebuah kerajaan - semua itu tidak harus mudah dikaitkan dengan 'kejahatan Barat' dengan begitu mudah.

Masalahnya kita memang suka begitu. Kita suka mengambil jalan singkat menyalahkan orientalis, liberalis, pluralis dan Rom yang kononnya menghari-rayakan kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada 1511.

Kemahiran sekelian kaum kerabat Melayu Islam terhadap segala macam kebejatan - seperti rasuah, pembunuhan tanpa pengadilan, perampasan dan penindasan hak rakyat - pernah dialegorikan oleh seni untuk dijadikan pengajaran dan teladan.

Melalui alegori seni itulah kefaqihan tentang salah guna kuasa, penyelewengan dan pengkhianatan diserlahkan.

Dengan bahasa yang lebih mudah, sesungguhnya amaran tentang kerakusan kuasa dan ketaasuban takhta ala “scheme of things” umarak Melayu Islam banyak diceritakan dalam karya-karya seni hikayat.

Kebijakan kepimpinan Melayu menyenarai, membaris dan melonggok si polan dan si polan dalam pakatan politik bagi tujuan merampas atau mengekalkan kekuasaan bukanlah asing.

Tak peduli sengsara orang

Rumitnya politik Melayu yang berakar dengan langkah khianat, fitnah dan jatuh-menjatuhkan sudah mendarah daging dalam tradisi. Semua ini boleh kita dapat melalui alegori seni seperti Hikayat Abdullah.

Dalam mahakarya itu Abdullah Munsyi - yang pernah dilabel sebagai Abdullah Paderi - berpesan: “Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam bahasa Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya.”

Orang Melayu itu ada satu sikap, apabila dah terhantuk barulah nak tengadah.

Apabila diberhentikan kerja, kehilangan pendapatan dan tiada apa-apa yang boleh disediakan untuk keluarganya makan, barulah dia sedar, rupa-rupanya kerajaan yang sah dan ada yang muncul daripada pengkhianatan.

Baru dia tahu kerajaan yang mencampak demokrasi ke longkang itu adalah entiti gagal yang buta, tuli dan tidak peduli pun kepada kesengsaraan orang terbanyak.

Dia mula terfikir mengapa mengapa sukar dibezakan di antara siput babi dengan program vaksinasi.

Gambar hiasan

Adapun segala alegori gejala jahat yang ditunjukkan dalam banyak hikayat itu tidaklah sangat orang Melayu ambil iktibar untuk dijadikan pengajaran kecuali untuk berhibur saja. Atau dipetik hanya semasa ia dianggap menguntungkannya.

Justeru munculkan umat Melayu Islam yang menormalisasikan pengkhianatan kerana ia dilakukan oleh individu atau kumpulan yang disukainya.

Kerana itu di sebalik jatuhnya kerajaan Melaka di tangan Portugis pada 1511, ada juga terselit hikmahnya. Tanpa kuasa pada Benggali Putih itu orang Melayu Islam tidak akan bangkit menolak penguasa yang menindas.

Ada sekumpulan peribahasa Melayu implisit dan istilah eksplisit yang boleh kita renungkan. Ungkapan seperti, ada udang di sebalik batu, orang memberi kita merasa, sogokkan, makan suap, tumbuk rusuk dan duit kopi hanyalah sebahagian contoh kecil yang harus kita singkap.

Justeru awas seandainya ada kerajaan yang mengungkapkan perkataan pemulih, atau bantuan untuk rakyat apabila yang sebenarnya menyelamat dan memulihkan kita itu adalah hasil titik peluh kita juga.

“Setelah Sultan Mahmud mangkat, entah dari mana datangnya, dalam dua tiga hari singgahlah dua tiga orang anak raja di Padang. Setelah sampai di pantai, disuruhnya orang membawa tombaknya ke darat untuk meminta beras, ayam, dan barang-barang lain yang dikehendakinya. Ada pula kelakuan seperti binatang, mengejar dan memperkosa anak-anak perempuan. Setelah itu mereka belayar. Kehendak mereka tidak boleh dilawan. Jika dilawan, akan dibunuh dan rumah dibakar. Pokok-pokok kelapa mereka habis ditebang untuk umbutnya. Demikianlah mereka membinasakan hamba Allah dengan zalim dan aniaya. Raja-raja itu mengambil anak-anak dara orang kebanyakan untuk dijadikan gundik dengan paksa, tiada reda perempuan itu, apalagi ibu bapanya. Dengan paksa perempuan itu dibawa ke rumahnya. Dipanggilnya khatib atau lebai-lebai yang bebal dalam hukum agama Islam dan tamakkan upah. Disuruh oleh raja nikahkan perempuan itu dengan keris raja. Adakah nikah itu sah…”

Demikianlah sebahagian kecil kisah terpahat dalam Hikayat Abdullah yang dikucilkan pengajarannya.

Jadi tiadalah hairan kita akan adanya umarak dan umarak yang penuh dengan kesombongan. Kerana biar berapa kali pun kepalanya bengkak, lebam dan benjol, orang Melayu hanya tengadah selepas terhantuk.


HARIS HAUZAH ialah lelaki Melayu Islam yang gemar berdiri atas rel kereta api sambal membayangkan dirinya ialah Tuah.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.