Skip to main
Logo Malaysiakini

Zarina Anjoulie mahu lapor polis lepas dikait dengan dakwaan kesalahan dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selebriti media sosial, Zarina Anjoulie memaklumkan bahawa dia akan membuat laporan polis selepas namanya dikaitkan dengan dakwaan ditangkap kerana positif dadah dalam satu serbuan di Nilai, Negeri Sembilan semalam.

Menurut Zarina, dia ingin mengambil tindakan undang-undang selepas mendapatkan nasihat peguamnya berhubung perkara tersebut.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dengan peguam tadi. Malam ini saya akan buat beberapa laporan polis terhadap beberapa pemilik Instagram.

“Insya-Allah tindakan undang-undang akan diambil nanti,” katanya di Instagram sebentar tadi.

Namun hantaran itu telah dipadamkan tidak berapa lama selepas ia dimuat naik.

Zarina yang juga pelakon Anak Pontianak itu turut memaklumkan bahawa laporan juga akan dibuat ke atas seorang pegawai polis.

Terdahulu, pemilik nama penuh Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul itu dikaitkan dengan penahanan seorang selebriti wanita yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Chalet di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, selebriti itu dibawa ke pejabat Narkotik IPD Nilai bagi tujuan saringan awal air kencing. Keputusan mendapati wanita itu positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek diberi jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.