Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Elizad terharu terima panggilan telefon Tunku Azizah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terharu dan terkejut - demikian perasaan yang dapat digambarkan pelakon Siti Elizad apabila dia menerima panggilan telefon daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Cerita Elizad, Tuanku Azizah adalah individu yang menjadi sumber inspirasi dan contoh buat wanita sepertinya yang berusaha untuk mendapatkan zuriat.

Katanya, antara perkara yang disentuh dalam perbualan bersama Tuanku Azizah adalah mengenai isu dia dilabel mandul sebelum ini.

“Saya ingin berkongsi saat indah ini. (Semalam) hari yang amat menggembirakan hati saya kerana menerima panggilan telefon dari Tuanku Permaisuri Azizah.

“Baginda bertanyakan keadaan saya selepas terbaca kisah yang mendakwa saya mandul tempoh hari.

“Panggilan itu amat menyentuh perasaan saya. Terharu, terkejut semua ada. Macam mimpi dapat bercakap dengan Tuanku Permaisuri yang sendiri menjadi idola dalam kisah perjalanan IVF (proses rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro) saya,” katanya di Instagram.

Kata pemilik nama penuh Siti Elizad Mohamad Sharifuddin itu lagi, Tuanku Azizah yang disifatkannya segai bersifat keibuan banyak memberi kata-kata semangat kepadanya dalam menempuh perjalanan melakukan IVF.

“Tuanku berikan kata-kata semangat, bercerita pengalaman sebanyak 17 kali menempuh perjalanan IVF.

“Memang menyakitkan, hanya yang mengalami saja yang dapat merasai. Tiada kata-kata yang mampu saya gambarkan, terlalu gembira dapat berbual dengan Permaisuri yang disayangi semua,” katanya lagi.

Siti Elizad, 37, bertemu jodoh dengan Shamsul Baharin Rahman pada 2015. Bagaimanapun, selama enam tahun berumah tangga, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Terdahulu, dia membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun media sosial selepas individu terbabit menggelarnya mandul serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Pengguna akaun terbabit turut melabelkan pelakon Dia Isteri Luar Biasa itu tidak boleh mendapat zuriat kerana tidak menunaikan solat serta memakai tudung.

Pada masa sama, Elizad berkata perkongsiannya mengenai IVF adalah bagi menyalurkan maklumat berkaitan proses itu kepada wanita lain yang berusaha untuk mendapatkan cahaya mata sepertinya.

“Kepada semua TTC Squad (trying to conceive) kita adalah pejuang. Mereka boleh katakan apa saja mereka nak, anya kita sesama kita yang melalulinya.

“Kepada sesiapa yang mengecam, buat anak pun nak bising-bising; untuk pengetahuan, tujuan saya berkongsi perjalanan IVF ni adalah untuk TTC Squad bagi mendapatkan maklumat.

“Apa saja berkaitan IVF sudah tentu saya akan kongsikan dengan mereka yang senasib dengan saya. Tiada paksaan buat pengikut untuk ikuti kisah saya. Terpulang kepada anda,” katanya lagi.