Skip to main
Logo Malaysiakini

Isteri Shuk dakwa dihantar santau, izin suami kahwin lain?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rumah tangga bekas penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar dilihat kembali bergolak apabila isterinya, Rossa mendakwa dia menerima santau daripada seorang wanita.

Rossa memuat naik pada Insta Story sebuah rakaman klip video pendek dan imej objek yang dikatakan daripada perbuatan santau itu.

“Syirik, siapa-siapa yang sanggup buat macam ni tolong bertaubat. Itu saja nak cakap,” katanya.

Dalam video dan imej tersebut kelihatan empat bungkusan yang diikat dengan tali berwarna hijau.

Pun begitu, Rossa atau nama penuhnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah tidak mengaitkan dakwan itu secara langsung dengan mana-mana individu selain dia enggan mendedahkan siapakah nama individu yang dimaksudkannya.

Terdahulu, Rossa memuat naik tangkap layar mesej bersama Shuk dan imej ugutan yang dihantar seorang wanita dipercayai kekasih suaminya itu.

Pada masa sama, Rossa turut membayangkan kesediaannya untuk hidup bermadu dengan meletakkan syarat dia dan anak-anaknya perlu diterima bukannya dengan cara menghancurkan kehidupan mereka yang sedia ada.

“Sudah cakap, jika hendak bermadu perlu terima keluarga dan anak-anak saya. Bukannya dengan hancurkan keluarga saya.

“Tolong berubah, bukan dengan cara ugut sana sini kerana saya dan anak-anak tidak salah,” katanya.

Untuk rekod, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 35, mendirikan rumah tangga dengan Rossa pada 2015.

Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi yang kini berumur setahun.

Shuk sebelum ini pernah berdepan kontroversi rumah tangga dipercayai dengan wanita sama hingga memakan diri apabila dia dipecat daripada terus menjadi penyampai Hot FM.

Shuk selepas itu juga membuat permohonan maaf kepada Rossa selain menghantar rombongan meminang untuk memujuk isterinya itu serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Sementara itu, Shuk turut dilihat memuat naik kenyataan ringkas berhubung perkara tersebut melalui Instagram miliknya.

“Saya ada di rumah, harap maklum sebelum komen,” katanya.