ULASAN | Membaca kebimbangan Sabri Yunus pada politik
ULASAN SENI | Membaca tulisan Sabri Yunus mengenai pandangannya terhadap politik tanah air - khususnya PAS dan politik Kelantan - memang sangat menarik.
Sabri yang juga dikenali sebagai Pak Ya Cong Codei menulis dengan penuh makna tentang situasi negara yang tenggelam dengan kemelut politik panjang. Ia mengakibatkan bernafas dalam kesengsaraan.
Namun sesetengah rakyat mengkritik. Mereka hanya mampu mengeluh dan pasrah dengan himpitan yang dikenakan ke atas mereka. Sedang sesetengah yang lain meluahkan rasa kemarahan dan menjerit kesakitan.
Ketika itulah Sabri ke depan meluahkan apa yang terpendam dalam lubuk hati ramai orang, terutama yang tidak mampu bersuara itu.
Sabri menulis tentang pengalaman bapanya yang aktif dalam PAS semasa zaman Asri Muda, dan berlawan dengan Umno semasa wujudnya Pemuda Tahan Lasak Umno.
Sabri juga bercerita semula tentang kempen pilihan raya. Ada pembunuhan wakil rakyat PAS, Abdul Samad Gul Ahmad yang mati dikapak. Kemudian darurat.
Bapa Sabri kecewa PAS menyertai BN dan mengambil sikap tidak mengundi sebagai satu protes orang kecil. Kemudian ada demonstrasi, peralihan kerajaan, kemudian pemecatan penghulu atau ketua kampung beramai-ramai.
Penghijrahan Sabri ke ibu kota melepaskan dirinya dari tembok politik yang ada semasa dia di Kelantan. Penglibatannya dalam bidang seni dan mendapat lingkungan rakan baru menambah-nambah lagi kebebasan diri daripada belenggu politik tradisi yang disangkut dalam ingatannya.
Tetap memberi kesan
Biar sepanjang Sabri berada di dunia seni dan di perut ibu kota, politik negara mengalami pelbagai pergolakan. Suhu politik tidak pernah surut-surut.
Namun keadaan politik pada masa itu, tidak sampai menghentak kepala dan menghimpit tubuh hingga ke penjuru tembok kehidupan yang sempit ini.
Mengapa orang ramai muak dan meluat dengan politik? Salah satunya adalah seperti pengalaman yang dilalui oleh Sabri sejak kecil itulah. Bahkan bak kata Sabri, politik itu sudah mati dalam dirinya. Sama ada dibunuh atau terbunuh.
Bukan sekadar Sabri yang berfikiran demikian. Ada ramai lagi yang sealiran sepertinya. Kadangkala saya pun menjadi sebahagian daripada mereka apabila mengambil fikiran demikian.
Misalnya mengambil sikap pasif kepada politik, tidak mahu terlibat dengan politik, atau tidak kisah pasal politik. Tetapi pada akhirnya, politik tetap memberi kesan kepada kehidupan kita sama ada secara langsung atau tidak.
Baca ULASAN | Ambo dan politik
Politik terus menghimpit dan merapat pada nafas kehidupan kita. Ia merupakan politik yang dibangunkan dengan menerbitkan rasa takut, kebergantungan, bimbang dan harapan agar masyarakat hanya menyerahkan kuasa kepada orang politik yang kebanyakannya tidak bertanggungjawab.
Sesungguhnya tulisan Sabri adalah tulisan politik yang sangat bermakna dan boleh menjana kefahaman masyarakat. Tulisan Sabri mengangkat kesedaran politik tanpa parti. Juga menegaskan mengenai politik untuk masyarakat.
Ia adalah politik yang boleh membawa negara keluar dari lembah kehancuran. Nilai politik ini perlu ada pada setiap jiwa warga Malaysia.
Setiap kita mempunyai tanggungjawab politik terhadap negara, bukan kepada parti politik atau pemimpin politik yang mungkin berubah-ubah.
Sabri menulis tentang kebimbangannya terhadap politik pada hari ini. Memang itulah kebimbangan kita semua. Kami pun begitu. Hanya mereka yang berkepentingan peribadi dan kelompok saja mengabaikan kebimbangan ini.
Terima kasih kerana bersuara, Sabri.
MUHAIMIN SULAM ialah pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Amanah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai