Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Sebelum YB melelapkan mata di sebelah isteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Saya bersarapan dengan bertemankan dua naskhah novel hari ini. Daerah Zeni daripada A Samad Said, dan Aleph oleh Paulo Coelho. Beginilah saya melayan diri semasa musim kita dilanda serba payah ini.

Ketika hidup dari sehari ke sehari masih tidak menentu, saya lebihkan membaca daripada melayan kaca TV. Saya berasa begini lebih elok untuk kesihatan minda dan jiwa.

Untuk kesihatan tubuh, saya banyakkan memakan ulam-ulaman dan sayur-sayuran.

Ini kali kedua saya mengulang baca Daerah Zeni. Pun begitu rasa teruja dan seronok tetap datang segar seperti sellau. Ia bagaikan menikmati filem period yang epik kerana ia sarat dengan mesej kemanusian.

"Kelaparan itu sumber nikmat," begitu pesan arwah ibu Ehran.

Petikan dari Daerah Zeni itu mengerakkan saya berhenti seketika daripada membaca, lalu berdoa memohon kepada Allah semoga kita yang teruk terkesan dek musibah pendemik Covid-19 sekarang diberikan kelapangan dan terangkat segala kesusahan.

Memang jika bersikap jujur, kita akan mengakui semua orang sedang berasa sangat racau dengan rasa sedih kini. Juga tertekan dan kecewa. Ketika negara lain semakin lega dan pulih, kita pula terpaksa terus bergelut dengan segala macam kekangan.

Negara yang dulu begitu makmur kini kian merosot dan menyedihkan.

Akur saja bahawa kita bukan sekadar gagal menentang wabak tetapi sekarang krisis yang berlaku sudah menular dan mengetuk pintu setiap rumah yang ada.

Jatuh terkapai-kapai

Masalah hilang sumber pencarian secara tiba-tiba, kemurungan, konflik rumah tangga, tekanan perasaan, serta pelbagai kemelut lain kini berada di depan mata. Dan kita tidak ada pilihan kecuali berdepan dengannya.

Itu mungkin menjadi salah satu jawapan kepada isu pertambahan kes bunuh diri yang sangat membimbangkan kita. Ia suatu petanda buruk dan sama sekali tidak kita perlukan.

Saya sendiri berdepan kegetiran untuk bernafas setelah putus sumber pencarian rezeki sejak kira-kira setahun lalu. Mujurlah saya bujang dan tidak punya beban tanggungjawab berkeluarga, maka ia sedikit ringan berbanding yang lain.

Sementelah pula saya membawa gaya hidup marhaen yang seadanya saja.

Bayangkan bagi mereka yang punya tanggungan keluarga, yang biasa senang atau yang sudah dalam kesusahan. Bagaimana pula mereka yang sebelum ini biasa dengan pendapatan lumayan dan hidup mewah tetapi tiba-tiba jatuh terkapai-kapai?

Hanya mental yang kuat dan iman yang teguh saja mampu menjadi benteng untuk bertahan.

Dalam menghadapi badai sebegini, menjadi harapan saya yang marhaen ini agar para pemimpin cepat sedar. Lekas berusaha dan cepat bertindak tetapi langkah itu biarlah cekap serta pintar. Bukan cemerkap, bukan semberono, bukan atas kepentingan peribadi atau parti.

Sepatutnya para pemimpin yang berada di atas sama turun bersama-sama dengan rakyat. Jangan terus terbuai-buai dengan kesedapan kuasa serta harta-benda. Maklumlah, kluster kayangan.

Tak menunggu orang susah

Terutama pemimpin-pemimpin beragama Islam yang mendakwa membawa perjuangan agama. Inilah masanya membuktikan bahawa Islam itu adalah rahmat untuk semua dan membumi, bukan menyebabkan orangnya berhidung tinggi.

Janganlah menjaja slogan itu dan ini kerana sekarang orang semakin sedar, segala kata-kata yang manis itu tidak lebih daripada sekadar membeli jiwa untuk pilihan raya.

Kembali belajar dengan Rusullullah SAW dan para sahabat baginda. Ambillah pengajaran bagaimana cara mereka bersikap sebagai pemimpin.

Sayidina Umar al-Khattab tidak lena tidurnya apabila ada rakyat yang kelaparan. Kerana sedar akan tanggungjawabnya, Umar sendiri - dengan mengetepikan segala protokol dan kerenah birokrasi - mendatangi rakyat. Bukan sebaliknya.

Bukan meminta rakyat berhubung dengan pejabat khalifah. Bukan mengarahkan rakyat mengemis bantuan. Khalifah tidak menunggu orang susah tetapi dialah yang bersusah-payah membantu rakyat jelata.

Percayalah kalau tatacara kepimpinan ini diamalkan tidak akan timbul isu bendera putih.

Tetapi itulah, dukacita jadinya apabila anda lebih sibuk kepada hal-hal lain yang tidak membantu rakyat walaupun sedikit. Anda lebih sibuk menimbunkan kesedapan alam rumah tangga atau menambah isteri baru, misalnya.

Atau meninggalkan kepanasan negara dengan menikmati kenyamanan udara di Paris dengan alasan mahu menyekolahkan anak.

Pada masa sama di sini anak-anak kelam-kabut persekolahannya. Pelajar ada yang terpaksa berbasikal ke kaki bukit untuk mendapatkan liputan internet. Mengharapkan kementerian yang berkaitan menunjukkan kecekapan sama seperti menanti kelawar menyelam menangkap ikan.

Pada masa sama ibu dan ayah mereka bergelut mencari ikhtiar hendak mengisi perut.

Entah bagaimana lagi mahu memahamkan pemimpin di atas sana. Mungkin sebelum melelapkan mata di sebelah isteri - muda atau tua - YB perlu mengambil sedikit masa menyelak helaian buku-buku yang berkisah tentang kemanusiaan.

Mudah-mudahan dengan cara itu pemimpin itu dapat mengasah jiwa masing-masing untuk sedar diri dan faham makna kelaparan, atau ketakutan jika gagal menyuap makanan buat anak dan isteri.

Rakyat tidak berlebihan dalam meminta. Mereka mahukan pemimpin yang benar-benar cakna terhadap mereka. 


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang berminat melukis sambil sesekali menulis.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.