Ada artis ajak boikot, tangguh festival filem tahun ini
Beranggapan banyak perkara lain yang lebih manfaat wajar dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) beberapa selebriti tanah air tampil mengajak agar Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang dijadual Okt depan diboikot.
Antaranya, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki yang berpendapat wang peruntukan untuk menjayakan FFM31 lebih wajar disalurkan untuk membantu penggiat seni yang terjejas teruk akibat akibat penularan Covid-19.
“Bukan sekarang masanya, tangguhkanlah. Gunakan wang festival tu untuk bantu anak-anak industri seni yang sedang kesusahan sekarang.
“Tolonglah tunjukkan kita juga prihatin. Kalau setuju viral,” katanya di Instagram sambil mengiringi kenyataan itu dengan tanda pagar #finas #fdam dan #pfm.
Untuk rekod, FFM31 yang dikendalikan Finas dijadual menemui penonton beberapa bulan akan datang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, sebelum ini berkata objektif FFM31 antaranya mengantarabangsakan filem-filem Malaysia melalui Projek Oscar yang dikenali sebagai Road to Oscar.
Pelakon Fezrul Khan pula mempertikaikan kewajaran FFM31 dilangsungkan.
Jangan sampai buta hati
Sebaliknya kata Fezrul, Finas wajar melihatkan kebajikan penggiat seni belakang tabir dan merekalah sepatutnya diutamakan terlebih dulu dan bukannya FFM31.
“Road to Oscar? Kru atau pelakon banyak terduduk sekarang ni sebab tak dibenarkan melakukan penggambaran.
"Dana untuk pemenang, pengarah atau pelakon terbaik?
“Dana untuk menganjurkan festival ada, tapi (dana untuk) kebajikan tak ada. @finasmalaysia membangunkan industri filem negara bukannya menjaga kebajikan, faham?" katanya sinis.
Tambah Fezrul dia ingin tahu sama ada salah atau tidak untuk pihak yang berkepentingan membantu penggiat seni di negara ini.
"Sekarang bukan masa yang sesuai nak anjurkan festival filem. Renung-renungkanlah,” katanya.
Seorang lagi pelakon, Adi Putra, turut menzahirkan luahan perasaan berkaitan penganjuran FFM31.
Tegasnya, pihak berwajib jangan sampai buta hati.
“Saya setuju (boikot FFM31). Dana simpan buat apa @finasmalaysia. Biar buta mata, jangan buta hati,” katanya.
Untuk rekod idea memboikot FFM31 sudah disuarakan lebih awal, iaitu pada awal bulan ini apabila disuarakan penyumbang rencana Malaysiakini, Haris Hauzah.
Pada 2 Julai lalu Haris "mencabar" pihak yang berkenaan untuk tidak menghantar sebarang pencalonan untuk festival tahunan tersebut.
"Aku mengajak, mempelawa, merayu dan mencabar semua pihak dan individu yang bernaung dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas untuk tidak menghantar sebarang pencalonan," katanya.
Langkah itu katanya perlu dibuat sebagai tanda protes atas beberapa tindakan dianggap tidak wajar dilakukan kementerian terbabit serta Finas.
"Kalau solidariti hartal ini boleh dan berani dilakukan, maka banyak lagi tuntutan pembaikan dalam industri filem dan televisyen dapat digerakkan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai