Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas ratu cantik mengaku tidak bersalah tumbuk polis, guna dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas ratu cantik negara, Kohinoor Damodaran Kaittiani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Selangor hari ini atas pertuduhan menumbuk anggota polis.

Dia turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan penyalahgunaan dadah.

Kohinoor 29, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, iaitu seorang Koperal bernama Sharulafirin Sarmadan dengan bertindak menumbuk penama tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Universiti, Petaling Jaya kira-kira jam 3 pagi pada 8 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperutukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, lapor Kosmo! Online.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis Tetrahydrocannabinol (THC) di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 2 petang pada tarikh sama.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga bekas ratu cantik negara ditahan selepas dia bertindak merempuh sekatan jalan raya selain menumbuk seorang anggota polis dalam kejadian di Lebuh Raya Persekutuan semalam. 

Suspek yang berusia 28 tahun turut didakwa bertindak agresif dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta dadah dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita terbabit memandu kenderaan tersebut bersama seorang lagi rakan wanita dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya.

Bagi kesalahan dilakukan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lau Chia Xin menawarkan ikat jamin RM5,000 masing-masing bagi setiap pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, peguam Raj Preet Kaur memohon mahkamah untuk mengenakan ikat jamin yang rendah dengan alasan perniagaan restoran diusahakan tertuduh tidak boleh beroperasi susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM1,000 untuk pertuduhan kedua.

Zhafran kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua serta menetapkan 6 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, rakan Kohinoor, Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis sama pukul 2.15 petang pada tempat, tarikh sama yang juga memperuntukkan seksyen dan hukuman yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 serta menetapkan 1 Oktober ini bagi sebutan semula kes.