Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ambo dan politik (Bhgn 2)

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Bergabungnya PAS dan Umno pada 1973 menyebabkan pilihan raya umum (PRU) 1974 tiada lagi poster bulan bintang (lambang PAS) dan kapal layar (Umno-Perikatan). Timbul pula gambar dacing. Tiada lagi Perikatan dan nama baru muncul. Barisan Nasional (BN). Istilahnya, parti campuran.

Macam ambo cerita dulu, ayah ambo tidak setuju campuran ini. Maka dia tidak lagi bekerja untuk parti. Tapi ayah tidak pula menyokong parti lain. Dia ambil sikap berdiam diri.

Semasa nak PRU keempat pada 1974, ayah tidak sibuk seperti sebelumnya. Ayah tak jaga pos. Ayah juga tidak lagi berjaga malam.

Semasa dekat hari nak mengundi ada lori-lori hantar tanah dan batu-batu kecil untuk membaiki jalan besar di kampung kami. Jalan besar yang merentas kampung kami tu dari jalan tar (jalan utama) yang berakhir di jalan raya di hujung pagar berek pegawai polis hutan dan juga pagar rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat hingga ke Kampung Panchor.

Ia bolehlah dikira sebagai sebagai ini jalan besar ke Bachok, Kubang Kerian juga kalau nak ke Terengganu. Jalan kampung tanah dan pasir itu selalu berlopak kalau hujan lebat dan lama.

Malangnya lori hanya hantar dan tambun batu-batu kecil itu di tengah jalan, dan kerja-kerja merata tanah itu terhenti. Entah apa sebabnya. Tidak lama lagi nak pilihan raya.

Masuk minggu kedua beberapa timbunan tanah masih ada di tengah-tengah jalan menghalang laluan. Motosikal dan basikal masih boleh lalu. Kalau kereta, orang kampung terpaksa ditinggalkan dekat jalan besar di hujung pagar berek tadi. Ketika itu ada dua atau tiga buah saja pun kereta orang kampung.

Ayah marah-marah di rumah. Hanya di rumah. Ambo pun rasa marah bila ayah marah-marah macam tu.

Satu hari - melalui kawan sekolah - ambo dapat nombor telefon rumah wakil rakyat. Kawan ambo tu sekampung dengan tok wakil tu, dan selalu bermain rumahnya. Adun di tempat kami ialah kawan baik ayah. Ustaz Lah Baung.

Bayangkan, ambo baru berumur 13 tahun. Baru tingkatan satu.

Ambo call di pondok telefon. Yi Pok Tih yang jadi peneman ambo. Ambo Yi Junuh. Dia yang dail.

Apabila berdering saja sebelah sana, Yi Pok Tih serah gagang. Ambo pun, slaluh:

"Helo, ni rumah tok wakil ko?”

Ada suara jawab: “Ya... sapo tu?”

Ambo sambung. "Ambo anak Tok Ngulu Junuh, nak mitok ustaz mari tengok jalan Kampung Landak ni... Acu tra (cuba) ustaz start Macerdih ustaz atas jalan tar ni masuk ke jalan pasir tu. Nak tengok lepas ko tidak.

"Tak kan nak tunggu menang mengundi dulu nak mari sudoh. Lubang tengah jalan tu, tak kan nak tunggu orang cedung padi..”

Ambo terus letak sebelum talian putus. Tadi masuk duit 10 sen.

Ambo dengan Yi Pok Tih pakat suka lepas tu. Wauu, puas hati.

Sebenarnya anak gadis Ustaz Lah tu kawan baik. Dia sekelas dengan ambo, tapi jiwa politik ambo besar masa tu.

Dua hari lepas tu, hahahaha.. atas gertak (jambatan kecil) di belakang kem PPH (pasukan polis hutan) ambo dengan Yi Pok Tih bertembung tok sedara, bapa saudara ayah namanya Tok Su Deraman.

Dia marah ambo. Kata dia: "Sapo suruh mu pandai-pandai talipon tok wakil? Itu bukan kerja budak sebesar mu.”

Ambo geram, tapi diam. Ya Tok Su Deraman mesti boleh jangka ambo. Anak ayah yang lain tak macam ambo. Tok Su mengepek lagi.

“Lepas tu mengaku anak ayah mu. Buat malu muka ayah mu.”

Ambo baru fikir. Alamak, kalaulah ayah tahu ni, aduuuh.. Kalulah anak dia tahu (kawan sekelas) lagu mana eh?

Tok Su Deraman sambung lagi .

“Nasib baik drebar dia hok akat talipon, kalu dia sendiri lagu mana?”

Ahh! Drebar, bukan dia sediri. Oohh.. maknanya ambo akan selamat daripada dimarahi ayah dan malu dengan anak ustaz. Tapi isunya tak sampai pada tok wakil.

Ambo budak lagi. Tidak tahu sebenarnya apa masalah dengan kerja-kerja membaiki jalan tu. Itu bukan salah wakil rakyat. Dia dah urus bahagian dia. Mesti ada hal pada urusan lain.

Tapi kita ni, semua salah wakil rakyat. Apatah lagi fikiran budak macam ambo. Akhirnya ayah ambo tahu juga kes ni. Ambo kena warning, tapi ambo nampak ada kebanggaan di wajah ayah pada ambo.

Saing sekelas ambo - anak tok wakil - sampai hari ni tak tahu. Kami masih bersaing baik. Aduuuuh.. lagu tu lah.

*Ayah, Tok Su Deraman, Ustaz Lah Baung dan Yi Pok Tih semuanya telah tiada. Al-Fatihah.


SABRI YUNUS ialah pengarah, pelakon dan seniman.

Tulisan ini asalnya dimuat naik di media sosial Sabri dan disiarkan di sini dengan izin. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.