Skip to main
Logo Malaysiakini

Zizan teruja balik Terengganu, bantu orang Pulau Perhentian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terkesan dengan kisah-kisah penderitaan orang ramai berdepan situasi pandemik Covid-19 menjadi titik mula buat pelakon dan pelawak tanah air, Zizan Razak untuk turut serta menyertai misi bantuan yang digerakkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lebih mengujakan, dia dibawa pulang ke negeri kelahirannya di Terengganu bagi menyantuni penduduk Pulau Perhentian yang berdepan kehidupan sukar susulan sektor pelancongan yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Zizan, ketika berkurung di rumah dia menyaksikan pelbagai kisah menyayat hati termasuk kes bunuh diri dan golongan susah mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan makanan.

Keadaan ini mendorongnya untuk tampil membantu mereka yang terjejas melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

"Jadi, saya hubungi sendiri pihak NGO dan tanya apa yang boleh saya bantu, apa yang kita boleh buat? Dan mereka cakap sudah ada pelan.

"Saya tawarkan diri dan mereka alu-alukan. Saya pun tak tahu yang kami nak datang Terengganu. Awalnya saya pun tak tahu akan ke Terengganu.

"Kemudian dimaklumkan akan ke sini. Saya rasa bersyukur, sebab satunya boleh balik Terengganu. Saya sangat gembira sampai tak boleh tidur sebab teruja nak datang sini.

"Dan akhirnya kami sampai. Rasa agak sayu sebab ini negeri saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Pulau Perhentian, Jumaat lalu.

Anak kelahiran Dungun berusia 37 tahun itu berkata, dia dapat merasai penderitaan masyarakat di pulau peranginan itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Disebabkan Covid-19 punya hal, pelancong tak dapat masuk, mereka punya ekosistem tak berjalan dengan baik.

"Jadi benda ni membuatkan saya macam agak sayulah bila tengok keadaan mereka. Tapi apabila saya sampai, mereka senyum, boleh tegur saya dan bercakap dengan saya lagi, saya rasa lega," kata pelakon yang pernah membintangi filem Polis Evo itu.

Buatkan orang Pulau Perhentian tersenyum

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, kehidupan penduduk di pulau peranginan terkenal itu semakin terhimpit susulan sektor pelancongan tidak dibenarkan beroperasi.

Lebih 2,000 penduduk yang hampir 100 peratus bergantung sumber pendapatan kepada industri pelancongan di situ diyakini tidak dapat bertahan lama sekiranya keadaan sekarang berterusan. 

Sementara itu, Zizan berkata kehadirannya bersama NGO serta bantuan-bantuan pihak lain, diharap dapat meringankan beban penduduk selain menghiburkan mereka.

Kata Zizan, dia juga dapat menyelami bagaimana sektor pelancongan di Pulau Perhentian sebelum ini beroperasi dalam jangka masa enam hingga lapan setahun dan terhenti dengan kehadiran musim monsun timur laut.

"Apabila musim monsun, mereka tak dapat kerja. Mereka guna duit simpanan untuk menampung hidup. Berbeza dengan sekarang bila luar musim monsun pun mereka tak boleh kerja.

"Jadi kehadiran kami bukan sekadar ringankan beban, kehadiran saya dapat buat mereka senyum pun cukup. Saya pun tak pernah buat (misi bantuan) macam ini. Kerana macam ini, saya datang nak berjumpa dengan mereka. Mereka nak bergambar ke apa saya sedia layan," jelasnya.

Sehubungan itu Zizan berkata, dia berharap orang ramai dapat turut serta memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk dalam usaha membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.