Skip to main
Logo Malaysiakini

Fiza terpaksa kunci mulut isu 'kaki sondol,' mata duitan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Meski imejnya tercalar dek tuduhan ‘kaki sondol’ dan ‘mata duitan’ pelakon Fiza Halim berkata dia masih belum dapat memberikan kenyataan balas bagi membersihkan namanya itu.

Katanya, tuduhan yang dilemparkan oleh wanita dipercayai bekas adik iparnya itu sudah dibawa ke pihak polis untuk siasatan.

“Saya mohon maaf kerana tak dibenarkan beri apa-apa kenyataan berhubung perkara berbangkit dan tular tu.

“Hal tu memang masih dalam siasatan polis. Minggu depan insya-Allah saya akan dapat keputusan hasil siasatan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Nama pemilik asal Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim itu mengundang perhatian umum di Twitter sejak minggu lalu selepas wanita terbabit mendakwanya ‘kaki sondol’ serta pemusnah rumah tangga perkahwinan terdahulu bekas suaminya, Aizat Al Jefri.

Pendedahan tersebut menerima pelbagai respons pengguna Internet walaupun tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Susulan itu, Fiza membuat laporan polis pada 7 Julai lalu di Balai Polis Mutiara Damansara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu pada masa sama berkata, dia sebenarnya bukan mengelak daripada mengulas situasi sebenar.

Dia bersedia untuk berkongsi maklumat berkaitan kes itu selepas siasatan berakhir.

“Hakikatnya saya terpaksa kunci mulut dulu.

“Biarlah pihak berwajib lakukan kerja mereka dulu. Jika ada sebarang makluman saya akan maklumkan kelak,” katanya.

Fiza pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmed Farriz Zainul Abidin, hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.

Pasangan itu kemudian bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.

Dia kemudian bernikah dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia Adam, Perkahwinan kedua Fiza dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013, juga tidak kekal.

Fiza kemudian bertemu jodoh dengan Aizat - juruterbang berstatus duda dua anak - pada Disember 2016.

Melalui perkahwinan itu, Fiza dan Aizat dikurniakan cahaya mata, Siti Aleena yang berusia hampir tiga tahun.

Bagaimanapun, mereka bercerai pada Julai tahun lalu.