Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Menanti kartunis veteran bangkit kembali

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Melalui khabar angin, kami mendengar berita bahawa satu usaha sedang giat dijalankan oleh sekumpulan pelukis komik veteran untuk memulakan kembali penghasilan komik-komik ala 1970-an.

Rudi Mahmood yang terkenal sebagai ensiklopedia hidup komik Malaya dikatakan sedang mengumpul kembali pelukis-pelukis komik dari angkatan Mediaseni yang terkenal suatu masa dulu.

Setakat hari ini beberapa pelukis lama seperti Ibrahim Hamid, Kuzae, Nik Hashim dan Saari Am bersetuju untuk kembali menghasilkan karya baru. Ini adalah satu perkembangan yang sangat menarik.

Pada tahun-tahun 1970-an dulu, dunia komik kita dipenuhi dengan karya yang berjiwa nusantara. Waktu itu para pelukis komik kita tidak dipengaruhi oleh gaya persembahan komik dari Jepun seperti hari ini.

Gaya lukisan mereka sangat tersendiri serta mempunyai identiti yang sangat kuat. Bagaimanapun dari segi kandungan cerita, ia masih tidak terlepas daripada pengaruh barat.

Kerana itu kita akan dapati komik dengan judul Lelaki Labah-labah yang merupakan saduran dari komik Spiderman, misalnya.

Selain itu, komik-komik berkenaan membawa kisah dongeng dunia Melayu selain cerita pendekar dan juga hantu jerangkung yang sering menjadi perbualan masyarakat.

Disiar sekali hantar

Secara peribadi kami waktu itu lebih cenderung kepada komik-komik jenaka dengan Wak Doger karya seniman Hussain Saad menjadi kegemaran utama.

Komik-komik saduran yang dihasilkan mengikut hati muda kami waktu itu adalah kodi.

Hari ini kami memandang teman-teman yang masih memiliki komik keluaran Mediaseni itu dengan penuh cemburu.

Zaman kegemilangan komik mungkin sudah berlalu namun kami berasa amat teruja apabila berita mengenai rancangan pelukis komik veteran berkenaan sampai kepada kami.

Hanya Gila-Gila yang masih bertahan sehingga hari ini selepas muncul lebih 30 tahun. Kami mungkin tidak bersetuju apabila komik berkenaan dipenuhi dengan karya-karya ulang siar, namun atas nama nostalgia, kami masih setia membeli setiap keluaran komik berkenaan.

Kami sendiri bermula sebagai pelukis komik. Kami melukis kartun pertama sewaktu di sekolah menengah dan kemudian ia dihantar ke majalah Gila-Gila, lalu disiarkan. Kegembiraan melihat lukisan berkenaan dicetak di majalah tersebut masih kami rasai sehingga hari ini.

Kebangaan yang akan kami ceritakan kepada semua orang adalah betapa sewaktu kami ke pejabat Creative Enterprise yang mengeluarkan majalah tersebut dan bertemu dengan arwah Pak Jab (Rejab Had). Dalam pertemuan tersebut Pak Jab memberitahu bahawa kami adalah antara pelukis yang karyanya disiarkan walaupun baru hanya sekeping dihantar.

Menurut Pak Jab lagi, bukan sedikit pelukis yang karya mereka tidak disiarkan meski pun mereka tidak jemu-jemu menghantar karya kepada syarikat penerbitan komik berkenaan.

Namun begitu kami tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis komik mahu pun seorang kartunis. Waktu itu ada tiga komik yang terkenal. Selain Gila-Gila, terdapat juga Gelihati dan Batu Api.

Cita-cita kami pada waktu itu ialah agar lukisan kami disiarkan ketiga-tiga komik berkenaan. Setelah impian itu tercapai, maka kami pun perlahan-lahan berhenti menghantar karya ke penerbitan tersebut.

Ada di Taman Tasik Perdana

Kami bertanya seorang teman mengenai mengapa ramai pelukis komik waktu tahun-tahun awal berasal dari Kelantan, dan mengapa agaknya banyak syarikat pencetakan berpusat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Menurut sahabat kami, mungkin kerana Kelantan waktu itu terkenal sebagai pusat pengajian agama maka kegiatan cetak-mencetak diperlukan bagi memenuhi tuntutan kitab-kitab agama.

Dari situ barangkali muncul kegiatan sampingan dan komik adalah salah satu daripadanya.

Kami sangat mencadangkan kepada semua untuk mengambil masa melawat Rumah Kartun Dan Komik Malaysia yang terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Di sana terdapat pameran karya pelukis-pelukis komik negara selain jualan komik terbaru keluaran tempatan. Terdapat juga kelas-kelas melukis yang diadakan dengan tenaga pengajarnya adala pelukis komik legenda tanah air.

Selain dari itu, di Kelantan sendiri kartunis legenda Rossem - yang terkenal dengan siri kartun Konstabel Jabit suatu masa dulu - membina sebuah muzium kartun di Kampung Peringat, Ketereh yang diberi nama sebagai Balai Kartun Rossem.

Balai Kartun Rossem sangat aktif mengadakan acara dengan kerjasama peserta dari dalam dan luar negara.

Kami terlibat dalam dunia melukis kartun secara tidak sengaja. Sewaktu sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah, Hasmadi Abdul Hamid  - atau kami panggil beliau sebagai Bulat - menceritakan pengalaman lucu kepada kami.

Lalu cerita itu kami komikan. Kami lukis komik tiga petak lalu kami hantar ke Gila-Gila. Sebelum itu tidak pernah terlintas di fikiran untuk melukis kartun.

Terbaca di mana-mana, kami dapati kartunis Lat menggunakan pen celup atau berus kaligrafi bersama dakwat Cina sewaktu melukis. Maka kami pun ke kedai mencari peralatan.

Tak padan dengan badan

Setelah peralatan tersebut dibeli, kami dapati agak sukar melukis menggunakan peralatan tersebut, selain bau dakwatnya yang agak busuk.

Setelah beberapa lama berlatih kami akhirnya menjadi agak mahir dan sehingga hari ini kami masih selesa membuat sketsa menggunakan pen celup atau berus kaligrapfi Cina dengan dakwat Cina.

Kami tidak sabar menunggu terbitnya komik-komik hasil karya pelukis veteran Mediaseni. Sebagai menebus dosa kerana memandang rendah hasil kerja mereka suatu masa dulu, kami berjanji akan memiliki semua hasil buah tangan mereka nanti.

Salut kepada semua pelukis komik kerana berani bertahan dalam dunia serba digital sekarang ini. Dan mengenai Gila-Gila, kami mengharapkan  satu keluaran khas dengan kulit depannya dilukis oleh seniman Zainal Buang Hussein.

Gila-Gila bukan Gila-Gila jika kulit luarnya tidak dilukis oleh ZBH.

Hasmadi meninggal dunia beberapa tahun lalu. Sewaktu di sekolah beliau terkenal sebagai pemain bola sepak. Tidak sepadan dengan tubuhnya yang agak gempal itu. Setelah tamat persekolahan, beliau mula berjinak dengan musik.

Waktu itu adalah zaman rock dan beliau sempat melalui zaman popular menerusi kumpulan Massa yang terkenal dengan lagu Patahnya Sayap Malam.  

Beliau juga adalah penulis seni kata bagi lagu Biasan yang dipopularkan oleh penyanyi To'Ki.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, pengembara, penulis dan kolumnis Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.