Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Seni menyesatkan makna politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Selain seni, politik adalah perkataan yang sedang perlahan-lahan cuba dipesongkan. Pemesongan itu berlangsung secara sistematik di setiap peringkat dari yang paling tinggi hingga ke paling rendah.

Di antara kedua-dua titik itu ialah bilik-bilik gerakan yang mengedarkan bantuan makanan kepada rakyat yang kesempitan.

Nasihat-nasihat teduh seperti tangguhkan seketika politiking atau mengehadkan pertembungan politik adalah racun yang bersalut madu. Ia bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Seperti itu jugalah yang dilakukan kuasawan ke atas seni, budaya dan sastera kita. Kelicikan itulah yang membuat ketiga-tiga bidang penting itu diperlecehkan dalam pembinaan negara dan pembentukan masyarakat.

Kini mereka cuba menyesatkan pengertian politik.

Dunia hari ini adalah dunia yang penuh dengan kekeliruan. Penerimaan kita kepada hal-hal seni, politik dan kemanusian terlalu banyak dicelarukan oleh sistem yang dikawal oleh gerombolan yang gilakan kuasa.

Hari ini tiada apa lagi yang boleh memeranjatkan. Kita biasa-biasa saja mendengar khabar tentang ratusan nyawa terkorban akibat wabak. Begitu juga dengan kes kemurungan, tekanan, kehilangan pekerjaan dan kes terusir dari rumah.

Semua ini adalah norma baru yang sedang diolah agar diterima secara menyeluruh.

Harus diakui segala apa yang berlaku hari ini adalah suatu pakej kegagalan. Ia tidak terhad kepada kerajaan malah kita terpaksa menelan hakikat pahit bahawa kegagalan ini adalah natijah daripada sikap sendiri yang tidak peduli untuk melawan korupsi dan ketidakbenaran.

Mujurlah Covid-19 akhirnya menyelongkar sisi gelap yang selama ini tidak ramai diambil tahu. Ia menelanjangkan sistem dan sikap yang selama ini gagal namun dibiarkan begitu saja.

Pemesongan oleh kuasawan

Segala peraturan yang berpihak, undang-undang sebelah, dan sikap politikus yang angkuh kini semakin terserlah. Suka atau tidak ini adalah kesan daripada ketidakpedulian kita terhadap pesan-pesan seni, budaya dan sastera.

“Politik pada dasarnya adalah wadah yang murni, yang mulia dan status amat tinggi. Politik adalah ilmu tentang dasar dan kaedah memerintah sesebuah negara. Politik adalah suci.”

Kata-kata di atas adalah petikan dari novel Shit! karya sasterawan negara kedua. Shahnon Ahmad dalam mukadimah karyanya itu menjelaskan dengan penuh semangat.

“Tapi apabila ada yang mengucap bahwa dalam politik, sahabat boleh jadi musuh serta-merta, musuh boleh jadi sahabat serta-merta, sahabat dan musuh dalam politik tak pernah kekal, maka ternyata yang berucap itu cuba membusukkan politik yang suci lagi mulia itu.”

Pada perenggan yang berikutnya Shahnon yang pernah berjuang dalam politik membuat perincian berkenaan politik yang dipesongkan.

“Ucapan sebusuk taik itu dengan sendirinya melibatkan pelbagai permasalahan lain mencakupi keperihalan fitnah, rasuah, pilih kasih, nepotisme, kronisme, korup, lucah, porno, gila kuasa, gila harta, bunuh-membunuh, seksa-menyeksa, dera-mendera, tipu helah, dendam kesumat, hasad dengki, politik wang, politik jilat-menjilat, politik burung belatuk, jatuh menjatuhkan, jelling-menjeling, calit-mencalit, tindas-menindas, kejam, pembohongan, kepura-puraan, keanjingan, kebabian, dan seribu satu lagi yang terwabak dari ucapan sebusuk taik itu.”

Tulisan itu ingin mengembalikan semula ingatan orang ramai tentang bagaimana seni - yang dianggap tidak penting - seperti sastera tampil dengan berani membetulkan pemesongan makna politik yang dibuat kuasawan.

Sensasi Shit! tidak hilang dengan segala macam ancaman dan sekatan yang diwujudkan ketika itu. Ia malah berkembang biak hingga membawa ke episod pengharaman. Perjalanan panjang novel ini semenjak kelahirannya pada 1999 rupanya hanyalah permulaan kebusukan politik yang lebih kotor, jijik dan lebih membusukkan.

Menurut Shahnon Ahmad: “Politik tidak sebusuk taik tapi orang yang membusukkan politik itulah yang sebusuk taik. Apa lagilah yang paling busuk kalau bukan taik? Shit! membicarakan kebusukan orang politik yang busuk lagi membusukkan seperti taik inilah.”

Seperti seni, politik hari ini perlahan-lahan sedang cuba diselewengkan daripada definisi dan fungsi yang sebenar.

Seorang perdana menteri boleh saja menggelakkan bendera putih yang rakyat kibar sebagai tanda sesaknya hidup. Seorang menteri hal ehwal ekonomi boleh saja menafikan kegagalan kerajaan ini mengurus pandemik dengan andaian belum ada rakyat negara ini yang mati kebuluran.

Sekelian menteri atau orang besar-besar boleh terus melanggar SOP dan kemudian dikompaun. Jika kadar maksimum pun mereka tidak akan terkesan, apa lagilah kompaun yang diberikan potongan harga.

Semua itu telah Shahnon Ahmad berikan amaran dulu.

“Apa saja yang PM katakan, semuanya menjadi macam undang-undang belaka. Bimbang pula dia kalau-kalau bila dia kentut pun, akan diisytihar sebagai undang-undang dalam sistem pemerintahan politik taik yang busuk dan membusukkan itu.”

Hari ini kita wajar berasa risau kerana politik negara bukan lagi sistem untuk para pemainnya menguruskan perbezaan sambil berkerja keras mencari jalan penyelesaian.

Pada hari ini kita memang patut berasa risau. Kerana kalau orang politik berhenti bermain politik, apa benda yang hendak mereka mainkan?


HARIS HAUZAH adalah pengibar bendera biru yang hanya kenyang dapat makan karipap.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.