Skip to main
Logo Malaysiakini

MyCreative buka permohonan geran sastera, penerbitan buku

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) telah membuka semula Geran Sastera dan Penerbitan Buku untuk permohonan mulai 19 Julai hingga 30 Ogos ini.

MyCreative dalam satu kenyataan berkata geran berkenaan adalah inisiatif daripada Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK) menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dalam usaha merancakkan kembali kegiatan seni dan kreatif dalam kalangan penggiat industri sastera.

Ia berkata setakat ini, sebanyak RM3.8 juta jumlah bantuan telah diluluskan untuk industri sastera dan penerbitan buku menerusi geran itu yang dibuka pada tahun lepas.

“Sejak permohonan dibuka pada tahun lepas, sambutan untuk geran sastera GPIK sangat memberangsangkan dengan sebanyak 229 penerbitan disokong termasuk karya bukan fiksyen, novel grafik, puisi, biografi, kajian serta buku digital.

"Jumlah permohonan yang menggalakkan juga dijangkakan untuk pusingan kali ini,” menurut kenyataan itu semalam.

Ia berkata geran itu boleh digunakan untuk kajian, penulisan, penerbitan, jualan dan promosi karya sastera tempatan, karya fiksyen dan bukan fiksyen, novel grafik, buku komik, puisi, biografi, kajian, laporan dan buku digital dan terbuka kepada warganegara Malaysia atau syarikat yang mempunyai majoriti pemilikan oleh warganegara Malaysia serta pengalaman selama sekurang-kurangnya enam bulan dalam bidang sastera dan penerbitan buku.

“Dana ini meliputi bantuan kos untuk menerapkan aspek digital dan saluran jualan dalam talian kepada operasi syarikat, sokongan kos promosi jualan secara dalam talian, penghantaran bagi karya terbitan tempatan serta bantuan kos pengeluaran manuskrip pertama atau sebarang kos yang dinilaikan sebagai wajar,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi MyCreative Noor Azmi Mat Said berkata geran itu diharap dapat terus menyokong dan menyemarakkan usaha penghasilan karya penggiat seni industri sastera dan penerbitan buku di waktu yang mencabar ini.

Permohonan GPIK Sastera ini boleh dibuat melalui http://sastera.penjana.mycreative.com.my/ dan maklumat lanjut berkaitan inisiatif ini boleh didapati di http://www.mycreative.com.my/penjana/creative-industry-development-funding-cid.

(MyCreative merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia)

- Bernama