Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadiah Sastera Selangor akan turut nilai karya akhbar lain

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hadiah Sastera Selangor yang ditaja oleh kerajaan Selangor akan memperluaskan penilaiannya terhadap karya yang diterbitkan pelbagai akhbar.

Anugerah ini juga akan memperkenalkan kategori novel di samping kategori sedia ada, iaitu cerpen, sajak dan esei.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Amirudin Shari ketika merasmikan majlis anugerah di atas talian malam tadi.

“Media Selangor akan menjalinkan kerjasama strategik dengan akhbar-akhbar arus perdana yang lain dan juga organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Kategori novel juga akan diperkenalkan untuk dinilai oleh juri,” katanya.

Buat masa ini, hanya karya yang disiarkan di akhbar Selangorkini dinilai untuk memenangi hadiah utama dan penghargaan.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan umumkan dalam masa terdekat kaedah untuk membantu pengkarya seni dan pihak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Ini termasuk seniman dalam bidang catan, perfileman dan penerbitan lagu.

Karya-karya ini, kata Amirudin, akan dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan negeri untuk membantu seniman menyambung hidup ketika pandemik ini.

“Saya mahu mereka menyumbangkan karya dan kreativiti mereka untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah rupa kita ketika berdepan krisis ini, bagaimanakah wajah kita ketika melalui detik-detik yang sukar ini,” katanya.

Pemenang Hadiah Sastera Selangor 2020

CERPEN

PEMENANG UTAMA: Tiada

HADIAH PENGHARGAAN:

  • Mak Minah hilang kain kafan (Farahin W)
  • Kau apa hari ini Melissa (Md Fariq Khir)
  • Sapat (Jaya Ramba)
  • Kuncitara (Saiful Ghazali)

SAJAK

PEMENANG UTAMA: Tiada

HADIAH PENGHARGAAN:

  • Tubuh yang terpecah menjadi catatan (Jed Stellarose)
  • Teluk Kumbar – selepas Anis Mojgani (Jack Malik)
  • Mata wang (Siti Alimah)

*Hanya tiga hadiah perhargaan diberi bagi kategori ini.

ESEI

PEMENANG UTAMA: Tiada

HADIAH PENGHARGAAN:

  • Jargon: Ketidakjujuran bahasa (Jaymani Sevanathan)
  • Kejantanan dalam filem Melayu (Daniyal Kadir)
  • Romantis penjenayah novel Melayu (Saiful Ghazali)
  • Tipu daya filem 'wira kulit putih' (Mohamed Nazreen Shahul Hamid)

Penilaian bagi anugerah ini diketuai oleh sasterawan terkenal Faisal Tehrani.