Skip to main
Logo Malaysiakini

Erma minta pihak 'tak peduli sengsara rakyat' berlaku adil

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Erma Fatima meminta kerajaan berlaku adil terhadap industri berkenaan ketika penggiatnya terus berdepan kesukaran hidup apabila tidak dapat bekerja sejak berbulan-bulan lalu.

Kata pengarah dan pelakon itu sektor perfileman amatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan sektor perkilangan yang terus dibenarkan beroperasi walaupun mencatat kes Covid-19 yang tinggi.

“Kepada mereka yang tak sedar atau tak mahu ambil peduli kesengsaraan rakyat, saya mohon supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan agar adil dengan industri kami.

“Apa salah kami berbanding kilang yang korang buka tu? Sedangkan begitu ramai kru saya sengsara hingga kena tendang, dihalau keluar dari rumah kerana mereka tak mampu bayar sewa rumah atau kena potong elektrik.

“Tolonglah bagi mereka ni jalankan penggambaran supaya dapat jana pendapatan, ramai sangat yang sedang terseksa,” katanya.

Justeru, Erma memohon kerajaan untuk mempertimbangkan kaedah lebih bersesuaian bagi memastikan penggiat seni dapat mengadaptasi situasi bekerja dengan norma baru, bukannya terus mengekang perkembangan bidang itu yang semakin tenat.

“Kes Covid-19 semakin naik, kita tak ada masa sama ada untuk larikan diri atau menyorok tapi terus fikir bagaimana nak teruskan kehidupan dengan adanya wabak tersebut.

“Macam mana caranya? Adalah dengan menjaga SOP, jika tak sampai bila pun orang industri tak akan dapat bekerja lagi,” katanya.

Peraturan tak masuk akal

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali berkata demikian pada sidang media secara maya bagi mempromosi drama Lockdown bersama pelakon hari ini.

Dia bertindak sebagai penulis skrip dan pereka cerita asal manakala Mohd Fazli Yahya bertindak selaku pengarah untuk drama itu.

Erma, 53, turut menyentuh prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti penggambaran filem pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara yang dilihatnya tidak masuk akal selain membebankan produksi.

Katanya, kerajaan wajar membuat kajian terlebih dulu sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan penggambaran filem.

“Bagilah peraturan yang berakal sikit, jangan main letak perkara tak masuk akal. Itu ibarat bagi tapi sebenarnya tak nak bagi (kebenaran). Jika nak bagi, bagilah dengan ikhlas.

“Apa mereka ingat penggambaran di sini seperti Hollywoodkah? Ada studio besar? Padahal penggambaran hanya di rumah-rumah orang saja. Kenapa nak dera kami sampai macam ni?” soalnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Lockdown, Erma berkata, drama yang disiarkan episod pertamanya semalam di Astro Ria itu bertujuan mengangkat kisah-kisah derita yang sedang dialami rakyat ketika penularan Covid-19.

Menurutnya, kebanyakan jalan cerita drama itu diadaptasi daripada kisah benar untuk dijadikan iktibar.

“Jika kerajaan tak nampak lagi tak tahulah. Apa yang dipaparkan adalah berdasarkan kejadian yang sudah berlaku terang-terang. Ni bukan fiksyen tapi realiti,” katanya.

Jelasnya, banyak lagi kisah duka hendak dipaparkan namun hasrat itu tidak kesampaian ekoran penggambaran terpaksa dihentikan bagi mematuhi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Produksi cadangkan 10 episod dulu. Selain itu, penggambaran pula terpaksa dihentikan dan lokasi juga terhad.

“Sikit sangat tu (kisah duka yang dipaparkan). Seksa rakyat tak sampai 10 peratus pun terpapar dalam drama tu.

“Masih ramai lagi rakyat yang menderita, tak boleh makan, belum cerita lagi kisah petugas barisan depan dan sebagainya. Tapi jika dibukakan pintu rezeki siapa tahu, boleh sambung untuk musim kedua,” katanya.