Skip to main
Logo Malaysiakini

Cipta bakat yang berbekas di hati, bukan di fikiran saja - Rosyam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seseorang bakat baru terutama dalam kalangan pempengaruh (instafamous atau influencer) wajar mencipta populariti berdasarkan bakat yang mampu membekas di hati berbanding memberi kesan di fikiran semata-mata, kata Rosyam Nor.

Menurut penerbit dan pelakon itu, tanpa usaha gigih membaiki kebolehan sendiri, mereka akan mudah dilupakan apabila suatu hari nanti mereka tidak lagi berada dalam dunia lakonan.

“Walau terkenal macam mana pun, tapi jika berlakon (tak seberapa), orang tetap tak suka. Justeru, saya berharap dengan adanya populariti itu, ia boleh membantu menjadikan lakonan mereka disemat dalam hati.

“Memang ramai orang yang popular, tapi populariti mereka hanya setakat berbekas di fikiran. Suatu hari nanti, apabila sudah tiada lagi dalam industri, mereka tidak akan dirindui oleh sesiapa pun,” katanya.

Rosyam yang juga terkenal sebagai ahli perniagaan itu berkata, dengan adanya bakat berkualiti dan meninggalkan bekas dalam hati penonton, mereka pasti boleh melangkah lebih jauh dalam bidang berkenaan.

Rosyam berkata demikian pada sidang media secara maya sempena promosi drama komedi romantik terbitan produksi miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, berjudul Cik Ayu Mee Sanggul hari ini.

Drama bersiri 16 episod yang sedang bersiaran di Astro Ria HD (104), Astro Ria (124) dan Astro Go and On Demand dari Isnin hingga Khamis setiap jam 10 malam itu berkisah pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang menghidap penyakit talasemia major.

Nampak sesuai tapi menunjuk-nunjuk

Kata pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin itu, dia tidak ada masalah untuk menawarkan peluang berlakon kepada mana-mana pempengaruh kerana menyedari populariti sering menjadi ukuran dan kehendak pada zaman sekarang.

Pun begitu, menurut Rosyam, 54, ia tidak semestinya untuk watak utama kerana seseorang yang mahu berada pada kedudukan itu perlukan pengalaman yang luas.

“Bagi saya, setiap zaman ada platform tertentu. Macam zaman saya, (era) majalah dan surat khabar, zaman sekarang ada Internet.

“Tapi untuk watak utama tu agak sukarlah sedikit sebab mereka tak ada pengalaman tu. Jika sampai di set nanti bawa masalah pada produksi pula. Nasihat saya, kalau benar-benar berminat, bermulalah dari bawah.

“Tapi jangan ambil kesempatan berlakon sebab rasa popular, akhirnya di set penggambaran tak boleh kerja. Siapa bernasib baik, dia pandai-pandailah angkat diri sendiri,” katanya.

Antara adegan dalam siri Cik Ayu Mee Sanggul

Sementara itu, Rosyam berkata, dia tidak pernah menyekat sesiapa untuk berlakon dalam syarikatnya meskipun pernah berdepan kerenah luar jangka seorang pelakon wanita popular.

Menurutnya, setiap kali menawarkan sesuatu peluang kepada mana-mana pelakon, dia seboleh-bolehnya berazam untuk mengangkat bakat dan kemahiran mereka menjadi yang terbaik.

“Saya tak nak sebut nama. Saya nampak memang dia sesuai untuk bawa watak heroin tu. Tapi bila sampai di pejabat, nampak gayanya terlalu mendesak dan menunjuk-nunjuk seperti mahu memilih watak dan sebagainya.

“Mungkin dia begitu sebab ada filemnya sedang ditayangkan pada ketika itu.

"Jujur saya cakap, sepanjang berkarier dalam bidang lakonan, kalau buat sesuatu, memang buat bersungguh-sungguh sebab nak jadikan seseorang tu lebih bagus,” katanya.

Namun, jelasnya, sikap pelakon berkenaan membuatkan dia tawar hati lalu membatalkan hasratnya untuk meneruskan tawaran yang diberikan.

“Saya tak jadi ambil dia berlakon. Drama tu pula meletup. Saya dapat agak dia menyesal melalui riak wajahnya apabila terserempak dengannya di kemudian hari,” katanya.