Scarlett Johansson saman Disney isu tayangan Black Widow
Bintang Black Widow, Scarlett Johansson memfailkan saman terhadap Disney di Mahkamah Tinggi Los Angeles semalam atas dakwaan melanggar kontrak selepas filem Marvel terbaru itu ditayangkan di perkhidmatan penstriman Disney + pada waktu sama tayangannya di pawagam.
Dalam tuntutan saman difailkan, dia berkata perjanjian dengan Disney’s Marvel Entertainment memastikan filem itu diberi hak eksklusif tayangan di pawagam sebelum ditayangkan di platform lain.
Katanya lagi, sebahagian besar pendapatannya daripada filem itu adalah berdasarkan prestasi pecah panggungnya.
“Disney sengaja menyebabkan pelanggaran perjanjian Marvel tanpa justifikasi, untuk mengelakkan (Scarlett) Johansson memperoleh manfaat penuh daripada Marvel,” menurut tuntutan itu.
Disney dalam kenyataan berkata, saman dikemukakan Scarlett tiada merit dan sesuatu yang menyedihkan kerana ia tidak mengambil kira kesan sepanjang penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
Syarikat itu juga berkata ia mematuhi sepenuhnya kontrak bersama Scarlett dan penyiaran Black Widow di platform Disney+ dengan Premier Access telah meningkatkan peluangnya untuk mendapat pendapatan tambahan, selain AS$20 juta (RM84,630,000) yang telah dterimanya setakat ini.
Menurut tuntutan yang difailkan pelakon itu, wakil Scarlett meminta jaminan agar Black Widow ditayangkan di pawagam pada 2019 memandangkan terdapat kebimbangan filem itu akan digunakan Disney sebaik selepas pelancaran Disney+.
Untuk rekod, tayangan filem itu ditangguhkan ekoran wabak Covid-19.
Tuntutan itu juga memetik kenyataan pihak Marvel bahawa Black Widow akan ditayangkan seperti filem adiwira Marvel yang lain, iaitu di pawagam terlebih dahulu.
Kenyataan pihak Marvel itu menyatakan jika terdapat perubahan rancangan berkenaan tayangan, perbincangan untuk mencapai kata sepakat perlu dibuat terlebih dahulu memandangkan perjanjian berdasarkan bonus daripada kutipan di pawagam.
Menurut tuntutan itu lagi, sebaik saja Scarlett tahu Black Widow akan dilancarkan dalam perkhidmatan penstriman dan pawagam pada hari yang sama, aktres itu berusaha untuk berunding dengan Marvel.
Bagaimanapun, cubaan itu tidak berhasil kerana Disney dan Marvel tidak memberikan sebarang jawapan, menurut tuntutan itu lagi.
Setakat ini tidak diketahui berapa bayaran yang diterima Scarlett bagi menjayakan watak Natasha Romanoff dalam filem itu, atau jika pembayaran AS$20 juta dari Disney itu turut merangkumi sebarang hasil kutipan filem berkenaan.
Namun, menurut sumber, keputusan untuk menyiarkan Black Widow di Disney+ membuatkan Scarlett kerugian AS$50 juta (RM211,575,000).
Pada pembukaannya, Black Widow mengutip jualan tiket sebanyak AS$80 juta (RM338,520,000) di Amerika Utara dan AS$78 juta (RM330,057,000) di peringkat antarabangsa, ditambah sekurang-kurangnya AS$60 juta (RM253,890,000) menerusi tayangan di Disney + Premier Access.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai