Skip to main
Logo Malaysiakini

Erma 'bela' Carl demi sayang masa depan anak bangsa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejak semalam namanya dikecam kerana dilihat memihak kepada seorang pempengaruh (influencer) yang didakwa bertindak kurang ajar ke atas gelandangan yang juga warga emas, pengarah dan pelakon Erma Fatima malam tadi tampil menjelaskan keadaan.

Kata Erma, dia tidak kisah sekiranya dia dicaci kerana apa yang lebih utama ialah dia ambil peduli masa depan bangsanya yang merempat atau menjadi gelandangan seumur hidup kerana mereka enggan mengubah nasib sendiri.

Justeru, menurut pengarah dan pelakon itu, dia memahami jika intonasi disampaikan pempengaruh dan ahli perniagaan itu nampak tegas atau kasar namun ia perlu bagi mengubah persepsi individu yang benar-benar tidak mahu berusaha mengubah diri sendiri.

“Gelandangan itu penghuninya lebih kurang 80 orang dari umur 30 hingga 60 tahun. Ada penagih, bekas banduan, hilang keluarga dan mereka hanya dibenarkan untuk tinggal di situ selama dua hingga tiga bulan sahaja.

"Itu bukan rumah tumpangan. Itu rumah transit saja. Mereka dibantu sepenuhnya oleh kerajaan. Makan tanggung berak cangkung yer! Namun, tak semua nak ubah hidup. Seronok ditanggung semua ni.

“Jika dah begitu mentalitinya… (takkan) nak suruh budak (Carl Samsudin) tu cakap lemah lembut? Mungkin suara dan intonasi dia agak kasar tapi budak tu cakap depan 80 orang yg berumur 30 hingga 60 tahun," katanya di Instagram.

Menurut Erma lelaki warga emas terbabit menawarkan diri untuk dijadikan contoh kepada penghuni lain di rumah transit itu.

"Takkan sampai tua nak duduk situ,” katanya.

Tegur dengan bahasa molek

Terdahulu, Carl mengundang perhatian umum selepas memberikan ceramah motivasi bertajuk Ubah Hidup kepada 20 gelandangan di Pusat Transit Gelandangan di Kuala Lumpur.

Susulan itu, ruang komen media sosial miliknya dibanjiri kecaman kerana didakwa meninggikan suara kepada seorang warga emas yang muncul di depannya ketika memberikan ceramah tersebut.

Bagaimanapun, dia kemudian tampil memohon maaf selain berkata memang tiada niatnya untuk berkasar apatah lagi kepada orang tua. 

Namun, lain pula yang berlaku kepada Erma yang terkenal dengan karya Mak Cun itu apabila kenyataannya itu terus mengundang kecaman ramai sehingga dia mengakui menerima pelbagai komen negatif.

Menurut pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali itu, orang ramai sepatutnya menggunakan bahasa yang lebih baik sekiranya ingin menegur orang lain.

Tambah Erma, 53, sekurang-kurangnya Carl tidak menggunakan kata-kata kesat ketika bercakap dengan orang lain berbanding netizen.

“Malulah dengan bahasa yang kau orang guna. Aku repost semua kutukan kau orang kat Instagram Story aku. Takde hal. Ada yang melampau bahasanya aku tak repost. Malu aku… mual dan jijik aku nak paparkan bahasa anak bangsa aku.

“Aku nak ajak kau orang semua baca dan hakimi balik bahasa yang kau orang gunakan. Setidak-tidaknya budak (Carl) tu tak keluar bahasa kesat. Kau orang? Itukah ada yang diperjuangkan?" katanya.

Sementara itu, dalam hantaran terbaru di Instagram miliknya petang ini Erma berkata, dia terpaksa menutup ruangan komen di platform media sosial itu kerana enggan menjadi tempat untuk orang yang tiada adab.

“Saya mohon maaf, tak hadap untuk tular. Saya juga tak perlu populariti. Saya dah puas semua tu. Instagram saya bukan untuk orang yang tak ada peradaban dalam berbicara.

“Semoga anda mendapat hidayah dalam peradaban untuk menegur salah orang,” katanya.