Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengenang Anjang Aki si tentera berjiwa seni

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Yang selalu dipotretkan ialah perihal seorang lelaki tua yang sedikit bongkok dan berjalan mundar-mandir di jeti seperti orang kurang siuman.

Setiap kali berselisih dengan orang, Anjang Aki melontar soalan berulang-ulang: "Hei, miker ada nampak ke anak aku? Itu ler miker, tak de koje cari koje, tak ada beban batu digalas.”

Sebenarnya kata-kata itu membayangkan rintihan hati seorang lelaki yang merindui anaknya. Anjang Aki dan Baharuddin Haji Omar sudah seperti aur dengan tebing. Biarpun membintangi ratusan drama dan filem dengan pelbagai watak, Anjang Aki jugalah nama melekat kukuh pada Baharuddin.

Anjang Aki ialah drama berantai dihasilkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam bentuk hitam putih. Ia begitu popular pada awal 1980-an. Dalam laporan berita, drama itu didakwa diterbitkan pada era 1990-an, walhal pada waktu itu siaran TV sudah 100 peratus berwarna.

Selain Baharuddin, Anjang Aki arahan Aziz Abas turut dibintangi Ismail Hutson dan Dian P Ramlee. Berlatarkan lokasi di jeti Kampung Telok Telaga Nenas di Air Tawar, Perak, Anjang Aki itu digambarkan sebagai lelaki Perak berusia awal 60-an dan disisihkan masyarakat.

Ketika membintangi Anjang Aki, usia Baharuddin belumlah setua watak itu. Dia baru berusia pertengahan 40-an kalau berdasarkan data kelahirannya iaitu pada 12 Julai 1936. Lebih istimewa, penghayatan padu Baharuddin kepada watak itu dan kefasihannya menyebabkan ramai orang menyangka dia adalah orang Perak.

Justeru tersiar berita melaporkan Baharuddin berasal dari "Kuang, Perak" walhal Kuang itu ada di Gombak Barat, Selangor, manakala di Perak ada Ulu Kuang iaitu di Chemor.

Sempat tawan Kinabalu

Baharuddin yang dilahirkan di Kuang bukanlah orang Perak dan berketurunan Minangkabau. Ahli keluarganya ramai ada di Beranang, Selangor.

Daripada watak Anjang Aki itu memang sukar diduga usia dan marga Baharuddin. Sama juga dengan sisi peribadinya. Tidak ramai yang tahu dia asalnya seorang anggota tentera berpangkat sarjan. Jarang latar belakang Baharuddin dikaitkan dengan tentera yang disertainya pada hujung 1950-an.

Berbeza dengan pelawak arwah Tawil, aksinya menjadi tentera cuma dalam filem Prebet Lapok bersama AR Badul. Namun sehingga ke akhir hayat Tawil sering dikaitkan sebagai bekas anggota tentera.

Menyorot detik Baharuddin dalam pasukan tentera, pada 1963 dia ditukarkan ke Briged 5, Sabah. Ketika berkhidmat di negeri itu Baharuddin sempat menawan puncak Gunung Kinabalu pada 1974.

Melalui pertemuan dengannya pada Dis tahun lalu, Baharuddin berkata dia pernah bertempur dua tiga kali dengan komunis. Bagaimanapun operasi di hutan bersempadan di antara Negeri Sembilan - Pahang itu menyentuh hatinya apabila dia terjumpa seorang bayi perempuan Cina.

“Kami terkejut, tapi faham mungkin bayi itu tidak sempat dilarikan ibunya. Saya angkat bayi itu, kemudian dukung dia dan bawa keluar dari hutan untuk diserahkan kepada ibu pejabat.

“Selama meredah hutan belantara itu, saya menamakannya bayi itu Mariam. Hati saya sayu mengenangkan bayi yang saya dukung itu... rasa seolah-olah anak kandung saya sendiri,” katanya.

Berbanding seniman seangkatannya, latar akademik Baharuddin adalah lebih baik. Bermula dengan pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Manggis, dia kemudian menyertai skim Special Malay Class 1 (SMC) di Sekolah Menengah Tinggi, Klang. SMC diperkenalkan penjajah Inggeris untuk mengasingkan pelajar Melayu yang bijak berbanding pelajar lain.

Anak kesayangan ibu

Ibu bapa Baharuddin bekerpa sebagai guru. Apabila mereka berpindah ke Kuala Lumpur, Baharuddin meneruskan pelajaran di SMC4 di Sekolah Rendah Batu Road. Seterusnya dia melangkah ke Victoria Institution (VI) iaitu sekolah yang mendidikn pelajar terpilih.

Ramai bekas pelajar VI kini tergolong sebagai tokoh istimewa dalam masyarakat seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; bekas menteri Rafidah Aziz, ahli perniagaan Ananda Krishna dan legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.

Menurut Baharuddin, dengan kelulusan yang ada dia boleh menjadi pegawai daerah jika mahu, tapi pasukan tentera juga yang dipilihnya.

“Saya masuk tentera kerana saya rasa ketika itu tenaga saya diperlukan,” katanya.

 Sekitar 1993, saya sempat menemu ramah ibu Baharuddin iaitu Khalijah Hassan yang menyifatkan dia - dipanggil Baha - sebagai anak yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Penulis bersama Baharuddin dalam pertemuan berlangsung pada Dis 2020

Khalijah berusia 76 tahun ketika itu. Katanya sebelum melahirkan Baharuddin dia melalui pengalaman pahit kerana semua lima anak lelakinya meninggal dunia ketika bayi.

Empat daripada mereka - Zainudin, Yunus, Razali dan Rosman - meninggal dunia semasa berusia kurang dari tiga bulan, manakala seorang lagi - Hamdan - semasa berusia dua tahun.

“Ketika bayi Baha lambat boleh berjalan. Saya risau kalau-kalau dia lumpuh. Maka setiap minggu dari Kuang kami bawa dia ke klinik kanak-kanak di Bangunan Cahaya Suria (di hadapan Puduraya).

"Doktor yang merawat Baha syorkan supaya dia beri minum sejenis susu tepung untuk menguatkan kaki,” katanya.

Tak ada paku jangan balik

Ketika Baharuddin meluahkan hasrat mahu jadi tentera, hati Khalijah berbelah bagi.

Barangkali memahami naluri ibu, Baharuddin cuma memberitahu kepergiannya ke Port Dickson untuk menyertai pasukan tentera sehari sebelum dia melangkah.

Ibunya terkejut tetapi berbeza pula bapanya, Omar Buyung, yang memberi lampu hijau tetapi disertakan cabaran.

"Kalau tak dapat paku (pangkat), kamu jangan balik,” kata si ayah.

Di sebalik tindakan Baharuddin menyertai tentera, tidak ramai yang tahu ia adalah tanda protesnya. Kalau diikutkan minat, dia dekat kepada seni. Justeru Baharuddin cenderung melukis dan menulis puisi.

Salah satu hasil lukisan Baharuddin

Ketika bersekolah Baharuddin sering pulang lewat hingga merisaukan ibu bapanya. Apabila ditanya barulah diberitahu dia suka menghabiskan masa di Jalan Melayu (Wisma Yakin) melihat seorang pelukis Indonesia melukis.

Baharuddin sempat berguru dengan pelukis itu, Idris Salam, dan lukisan kegemarannya ialah potret dan pemandangan.

Ada sebahagian daripada lukisannya dijual, tetapi lebih banyak yang terperap di rumah. Melihat pelbagai lukisan dihasilkan Baharuddin, bapanya menyindir: "Bolehkah kau hidup dengan melukis ?”

Dalam wawancara bersama Ismail Hutson, Omar mengakui dia pernah melihat lukisan Baharuddin dan memujinya.

Jangan taasub dalam politik

Saya mengenali Baharuddin ketika menjadi tenaga produksi filem Pertentangan arahan Salleh Ghani pada 1983. Sebelum itu Baharuddin membintangi satu lagi filem arahan Salleh Ghani iaitu Ribut Barat.

Filem lain dibintangi Baharuddin ialah Dia Ibuku, Ali Setan II, Irisan-Irisan Hati dan Darah Satria.

Bukan mudah untuk bekas tentera jadi pelakon, tetapi bakat seni dalam diri Baharuddin itu semula jadi sifatnya hinggakan ramai pengarah filem dan drama suka bekerjasama dengan dia.

“Pengarah lama suka jika pelakon menghormati mereka. Saya anggap pengarah veteran seperti abang dan saya kagum mereka sebagai pejuang budaya yang kenal masyarakat,” kata Baharuddin.

Baharuddin yang disenangi pelbagai golongan itu menghembuskan nafas terakhir pada 24 Julai lalu. Punca kematiannya bukan disebabkan Covid-19 tetapi pembuluh darah bengkak. Kepergian Baharuddin menambah hiba dunia seni kerana berlaku selang sehari selepas Tawil meninggal dunia.

Sebagai bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan bekas ahli Lembaga Finas, Baharuddin pernah berpesan supaya pemimpin persatuan memperkuat suara pertubuhan masing-masing dan jangan terlalu taasub kepada parti politik tertentu.

“Semasa Umno bergolak, tempiasnya terkenal pada Seniman hingga wujud ahli 'Seniman baru' dengan 'Seniman lama'. Betapa peritnya kita berpecah kerana akan tiba masanya Seniman kerna berurusan dengan satu perbadanan sahaja yang mewakili kerajaan iaitu Finas.

“Mujur saya mendapat sokongan baik daripada wartawan ketika itu dan perjuangan Seniman didengar.

"Justeru perkuatkan suara kita dalam persatuan jika mahu membela anak seni,” katanya.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.