Skip to main
Logo Malaysiakini

Nilai tuntutan saman Siti Nordiana kini RM2.5 juta, tapi...

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Siti Nordiana kini meningkatkan nilai tuntutan samannya ke atas lima individu selepas tiada sebarang permohonan maaf diterima dalam tempoh yang diberikan.

Berbanding RM200,000 setiap seorang sebelum ini, sekarang penyanyi Cukup Derita Itu menuntut lima individu terbabit membayar pampasan sebanyak RM500,000 setiap seorang. 

Pun begitu kata peguam penyanyi berkenaan, Abang Azlan Abang Ariffin, pihaknya masih membuka pintu rundingan walaupun mahkamah sudang menetapkan tarikh untuk pengurusan kes tersebut pada 9 Ogos ini.

Katanya proses tersebut akan berjalan secara dalam talian di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zulqarnain Hassan, dan turut melibatkan peguam lima individu terbabit.

“Saman sudah difailkan dan tarikh pengurusan kes juga telah ditetapkan. Namun, pihak mereka masih boleh berunding sekiranya perlu.

“Keputusan bergantung pada peguam sama ada mahu kes ini ditarik balik jika ada penyelesaian dan persetujuan daripada anak guam saya serta sekiranya ia dibuat sebelum tarikh pengurusan kes dijalankan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Abang Azlan, Siti Nordiana, 36, juga menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live daripada setiap defendan.

Melibatkan imej sebagai penyanyi

Selain itu, katanya, penyanyi yang juga terkenal melalui lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit itu antara lain turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah atas penghakiman pada kadar 5 peratus setahun.

Terdahulu, Siti Nordiana menuntut penyanyi Lan Solo, Syura Badron, isteri Lan, Sheila Hassim, Pegawai Perhubungan Awam FMC, Sam Samin dan jurusolek, Aida G untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam serta membayar RM200,000 setiap seorang kepadanya.

Namun, kelima-lima individu tersebut tidak berbuat demikian pada tempoh yang ditetapkan.

Isu bermula selepas Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, dan Syura membuat pendedahan secara terbuka mengenai kemelut antara mereka dan Siti Nordiana melalui sesi Instagram live pada 20 Julai lalu.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 34, pula mendakwa dia dimalukan Siti Nordiana dan pengurusnya itu hingga menyebabkan kerjayanya terjejas.

Ditanya berhubung nilai tuntutan yang meningkat, Abang Azlan menjelaskan, ia disebabkan tiada sebarang permohonan maaf dibuat dalam tempoh yang diberikan sebelum ini.

“Jumlah RM200,000 itu sewaktu dalam tempoh tuntutan, namun tak ada sebarang rundingan daripada pihak sana. Kes ini adalah kes saman fitnah yang melibatkan imej Siti Nordiana sebagai penyanyi.

“Justeru, nilai RM500,000 itu dirasakan satu tuntutan munasabah buat masa ini,” katanya.