Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas Taukeh, Shahrol Shiro pula nafi jadi ‘bapa ayam’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas Taukeh menafikan dirinya pelawak yang ditahan kerana disyaki terbabit kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, kini Shahrol Shiro pula tampil berbuat demikian. 

Katanya, memang ada beberapa individu yang bertanya mengenai perkara itu kepadanya.

“Beberapa sahabat termasuk bertanya adakah itu saya dan saya telah menjelaskan itu bukan saya.

“Terima kasih kerana bertanya dulu dan pada komen-komen terus menuduh saya,” katanya di Instagram hari ini.

Terdahulu, polis menahan seorang selebriti lelaki berumur 40an selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, dalam satu sekatan jalan raya pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata susulan tangkapan itu, pihaknya juga berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah, kira-kira pukul 10 pagi.

Menurut Amran, polis menahan seorang lelaki dan menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

Tambah pemilik nama sebenar Shahrol Azizie Azmi, 37, itu secara sinis, dia juga memaafkan mana-mana pihak yang menuduhnya secara melulu apabila mengaitkannya dengan kes terbabit.

“Saya tak mahu kalian merangkak di padang mahsyar mencari saya dan fokus pada dosa-dosa yang lain kerana saya dah memaafkan anda.

“Terima kasih kerana mengambil berat pasal saya,” katanya.