Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor nak bedah Siti Sarah untuk selamatkan kandungan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pagi tadi, doktor memberitahu Siti Sarah akan dibedah kira-kira jam 2 petang ini.

Menurut pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom, doktor terpaksa membuat pembedahan berkenaan bagi mengeluarkan kandungan penyanyi itu yang kini berusia lapan bulan.

Bagaimanapun kata Nana, paras oksigen pada Siti Sarah kini semakin baik sejurus selepas keluarga dan rakan-rakan penyanyi terbabit selesai membacakan Yasin untuk kesejahterannya.

“Doktor memaklumkan jam 2 petang ini Siti Sarah akan dibedah bagi menyelamatkan bayi yang dikandung.

“Insya-Allah dengan pembedahan tersebut dapat menyelamatkan mereka berdua.

“Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada semua. Semoga Allah memperkenankan doa kita semua,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu majlis membaca Yasin diadakan bagi mendoakan kesejahteraan penyanyi terbabit dan ia dipimpin oleh Imam Muda Asyraf.

Mohon doakan keselamatan

Terdahulu suami Siti Sarah, Shuib, berkata penyanyi terbabit ditempatkan di ICU selepas doktor mendapati keadaannya tidak berapa stabil sejak petang semalam.

“Assalamualaikum, salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tak berapa stabil dan keadaan dia yang tak berapa baik,” katanya di Instagram.

Sebelum ini, Siti Sarah yang sedang hamil anak keempat dengan usia kandungan mencecah lapan bulan itu terpaksa dikejarkan ke HUKM selepas tahap oksigen yang semakin menurun malam kelmarin.

Pagi keesokannya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad memberitahu pengurusnya, Nana Mohd Rom, bahawa keadaan oksigen penyanyi Ku Teruskan itu dalam keadaan “OK.”

Namun, kira-kira empat jam kemudian, Shuib, 36, mengemas kini Instagram miliknya dengan berkata, tahap oksigen Siti Sarah “kadang-kadang belum stabil.”

Terdahulu, Siti Sarah menyatakan kebimbangannya mengenai kesihatan dan bayi dalam kandungannya selepas seorang pembantu rumah mereka disahkan positif Covid-19.

Pada 27 Julai lalu, dia dan Shuib mengesahkan mereka sekeluarga turut positif wabak berkenaan. 

Pada masa sama, Shuib turut memohon doa kesembuhan buat isteri dan bayi dalam kandungan.

“Saya mohon di hari baik sempena Jumaat ini, doakanlah Sarah dan anak dalam kandungannya. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka.

“Semoga Allah merahmati kita semua, amin,” katanya.

Shuib dan Siti Sarah berkahwin pada 27 Feb 2011. Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.