Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Abdullah, Tunku Azizah zahir ucapan takziah pemergian Siti Sarah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pagi tadi.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham Siti Sarah serta berharap keluarga penyanyi itu diberikan ketabahan untuk berdepan dugaan.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” kata hantaran itu.

Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham Siti Sarah dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi tadi.

Pemergian penyanyi Saat Hilang Cintamu itu disahkan oleh suaminya, pelawak dan ahli perniagaan Shuib Sepahtu di Instagram.

Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.