Skip to main
Logo Malaysiakini

Shuib: 'Saya tersentak, Siti Sarah belum divaksin'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shuib Sepahtu mengakui pemergian isterinya, Siti Sarah Raisuddin banyak membawa pengajaran dan hikmah antaranya soal pengambilan vaksin serta kesihatan yang tidak dipedulikannya sebelum ini.

Pelawak dan ahli perniagaan itu berharap kisah Siti Sarah dapat membuka mata ramai pihak yang masih enggan mengambil vaksin agar segera mendapatkan suntikan bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa sekiranya positif Covid-19.

Kata Shuib, jangkitan Covid-19 yang merebak hampir pada semua tubuh penyanyi itu menyebabkan paru-parunya tidak boleh bekerja untuk memproses oksigen.

“Ada seorang jururawat mengingatkan, semoga kematian Siti Sarah memberi kebaikan dan dia meminta saya menyedarkan rakyat Malaysia mengenai vaksin.

“Saya tersentak sebab isteri belum divaksin. Wallahi, pada fikiran saya, isteri boleh kembali sihat dan sembuh, saya cukup yakin.

“Tapi bila berkomunikasi dengan doktor, dia kata paru-paru isteri awak penuh dengan Covid-19, ia tak boleh berfungsi. Di sinilah vaksin sepatutnya memainkan peranan,” katanya pada sesi siarang langsung di Instagram Story sebentar tadi.

Katanya, Covid-19 “is real” malah dia juga sebelum ini antara insan yang tidak pernah percaya mengenai kewujudan wabak berkenaan.

“Jika berpeluang untuk ambil vaksin, ambillah. Di saat kematian kita hadapi hari-hari. Kalau Covid-19 nak terjadi, sekelip mata ia boleh berlaku.

“Dulu saya tak berapa nak percaya, tapi bila dah kena batang hidung.

“Saya juga pernah bergaduh dengan isteri sebab tak takut keluar ke sana sini untuk berjumpa kawan atas urusan kerja. Dia ada beritahu risau jika terkena wabak,” katanya.

Siti Sarah meninggal dunia hari ini di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akibat COVID-19 selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat Covid-19. 

Dia juga terpaksa ditidurkan dan menjalani pembedahan tanpa sedar demi menyelamatkan anak keempatnya, Ayash Affan pada 6 Ogos lalu. 

Pada 27 Julai lalu, penyanyi Terakhir Buat Teman itu, berkongsi dia dan keluarganya dijangkiti wabak itu melalui pembantu rumah mereka. 

Dalam sesi live tersebut, Shuib turut memberitahu, pembantu rumah berkenaan meninggal dunia baru-baru ini.

Tambah Shuib, sebanyak mana pun harta seseorang, dengan situasi Covid-19 di negara ini, ia belum tentu dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

Justeru, katanya, jagalah kesihatan serta jangan sayangkan duit.

“Saat di dalam ambulan, saya terfikir nak bawa isteri ke hospital swasta, tapi tak berpeluang sebab penuh. Masa tu memang terdetik, duit banyak mana pun tak akan boleh sihatkan isteri saya.

“Jika banyak duit, jagalah kesihatan, amalkan vitamin untuk kuatkan sistem imun kita. Kalau tak ada duit amalkan pemakanan sihat, dan beli oximeter tapi tolong jangan sayang duit.

“Saya orang yang memang tak jaga kesihatan, saya jarang makan vitamin. Dengan sekarang ada pelbagai jenis Covid-19 termasuk Varian Delta, kalau terkena terkena tak boleh berpatah balik,” katanya.