Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak menangis teresak-esak sebaik diberitahu pemergian ibu - Shuib

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shuib Sepahtu berkata, tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham isterinya, Siti Sarah menangis teresak-esak sebaik diberitahu ibu mereka tidak akan pulang ke rumah lagi.

Pada awal menurutnya, dia mengambil masa agak lama sebelum menyampaikan berita dukacita itu kepada Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6.

Namun, berbekalkan air wuduk, ahli perniagaan yang juga pelakon itu berkata, dia mencekalkan hati untuk memberitahu berita pemergian itu kepada anak-anak yang masih belum tahu.

“Balik rumah (dari majlis pengebumian), saya terus naik atas dan mandi. Saya mandi sangat lama, ambil masa untuk fikirkan bagaimana cara untuk memberitahu mereka.

“Tiba-tiba bapa mentua (Raissuddin Hamzah) hubungi dan beritahu saya perlu beritahu anak-anak kerana mereka sudah menonton kisah ibu mereka di YouTube.

“Ya Allah, ni dugaan paling berat, tapi saya cekalkan hati berbekalkan air sembahyang dan panggil anak-anak untuk terangkan.

“Saya beritahu, biasanya kita buat solat hajat untuk ibu balik ke rumah. Tapi hari ni tak ada, ibu takkan balik. Anak-anak terus menangis teresak-esak terutama Matin, kerana dia paling manja dengan arwah,” katanya pada sesi live di Instagram petang tadi.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Kuala Lumpur akibat Covid-19 pada jam 5.13 pagi hari ini.

Selain suami dan tiga orang anaknya itu, Siti Sarah turut meninggalkan Ayash Affan yang dilahirkan, pada 6 Ogos lalu.

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 36, berkata meskipun perlu mengambil masa, anak-anaknya itu akhirnya mula memahami.

“Kita menangis berdoa nak ibu balik tapi ibu bukan milik daddy, sebaliknya ibu milik Allah. 

"Kita tak akan jumpa ibu lagi. Anak saya menangis dan terus menangis, saya koyak,” katanya.

Kata Shuib kepada anak-anaknya, ibu mereka turut menitipkan pesanan agar menjadi anak yang yang soleh dan solehah.

“Ibu pesan semua anak kena jadi soleh dan solehah. Dia nak anak pandai mengaji dan solat. 

"Alhamdulillah, semua anak memahami. Allah telah kurniakan satu lagi kemudahan untuk saya,” katanya.

Pada masa sama, Shuib turut berkongsi saat terakhir dia menatap wajah isterinya itu di hospital. Katanya, wajah Siti Sarah kelihatan berseri-seri.

Katanya, dia juga cemburu kerana ramai orang mengingati kebaikan dan mendoakan Siti Sarah pada hari kematiannya.

“Wajahnya berseri-seri dan bersih. Selain tu saya berharap agar Allah lindungi hati anak-anakku supaya menjadi tidak kedekut, sentiasa bersedekah seperti ibunya serta berbuat baik kepada semua manusia,” katanya.