Skip to main
Logo Malaysiakini

BELASUNGKAWA | Mengenang Siti Sarah - ikon muzik terbaik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sehari dua ini ramai yang memperkatakan tentang penyanyi dan selebriti popular tanah air, Siti Sarah yang meninggalkan kita pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.

Pemergiannya dalam usia 36 tahun masih terlalu muda. Nyatalah Covid ini tidak mengenal mangsa, siapa pun kita.

Betul, Siti memang insan hebat. Ramai peminat dan masyarakat menangisi pemergiannya.

Ramai yang mencemburui cara pengakhirannya yang indah, rahmat Tuhan atas segalanya. Tentang kebaikannya, tentang sedekah dan kerendahan hatinya sehingga Agong dan perdana menteri kita pun turut menyatakan simpati dalam ucapan takziah mereka.

Berita pemergiannya mendapat liputan meluas di akhbar dan media sosial.

Rezeki Siti Sarah, 450 anak tahfiz daripada Indonesia mengadakan majlis khatam Quran buatnya. Terdapat juga 300 orang mengadakan solat jenazah ghaib buat allahyarham di Masjidil Haram.

Bakat Siti sebagai penyanyi diwarisi daripada bapanya, Raisuddin Hamzah, 61 tahun.

Saya ikuti perkembangan seni bapanya yang berjaya ke final Pertandingan Bintang RTM 1980.

Juara pertandingan waktu itu berpihak kepada Rohana Jalil dan Raisuddin terpilih antara lima yang terbaik.

Bintang RTM adalah pertandingan yang dianggap paling berprestij zaman itu kerana hanya melibatkan juri profesional dalam menilai kualiti peserta.

Ini berbeza dengan pertandingan program realiti zaman ini yang jurinya turut melibatkan orang awam dan selebriti yang kurang mahir menilai kualiti nyanyian.

Waktu itu saya masih bersekolah di kampung dan TV pun hitam putih, belum ada warna lagi.

Jadi pertandingan seperti Bintang RTM yang disiarkan di TV1 memang kita tunggu dan nantikan. Kalau di tahun 1979, juaranya Jamal Abdillah.

Raisuddin juga popular sebagai pelakon drama dan popular di tahun 80-an dan 90-an.

Seperti bapanya, Siti juga memulakan kariernya dengan menyertai Bintang RTM 2001 dan berjaya hingga ke peringkat akhir pertandingan.

Walau juara berpihak pada Azharina Azhar, karier Siti dilihat lebih menyerlah selepas single pertamanya, “Kesetiaan” yang diterbitkan pada 2002 mendapat sambutan peminat.

Siti antara penyanyi di Malaysia yang mempunyai tone suara yang berkualiti, sebaris dengan penyanyi seangkatannya seperti Dayang Nurfaizah, Misha Omar juga Ning Baizura.

Suara Siti ini gaya dan lenggoknya seperti Mariah Carey, suara zaman sekarang tapi masih ada kemelayuannya.

Pop ballad, R&B

Siti ini genre muziknya pop ballad yang ada mood R&B. Kita boleh kenal lenggok dan suaranya kalau kedengaran di corong radio.

Itu kelebihan penyanyi yang punya suara dan trademark tersendiri seperti Jamal, Saleem, Sharifah Aini, Uji Rashid, termasuklah Siti Sarah Raisuddin.

Itu sebab beliau berjaya meraih berbagai kejuaraan dan menang dalam banyak anugerah seperti vokal terbaik, album pop terbaik dan album terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003.

Banyak lagi kejayaan yang diraihnya sepanjang bergelar penyanyi

Siti berjaya melahirkan tiga album sepanjang kariernya iaitu Sarah (2002), Mimpi Pun Sama (2003) dan Tiada Dikau Tiada Makna (2005).

Kesemua albumnya mendapat sambutan peminat. Suara duetnya dengan Jamal Abdillah dalam lagu Sandarkan Pada Kenangan lebih baik dari versi dan suara penyanyi asal.

Penyanyi ini berkahwin dengan pelawak terkenal, Shuib Sepahtu pada 2011 dan dikurniakan empat orang anak. Pasangan tersebut juga berjaya dalam bidang perniagaan, seperti kata Shuib, kejayaannya bergantung pada tuah Siti.

Pandemik memberi kesan yang menyeluruh kepada kita. Kematian, bunuh diri, depresi, pengangguran, segalanya untuk subjek kekalahan adalah berkemungkinan belaka, siapa pun tidak terkecuali.

Siapa sangka Siti Sarah akan kembali ke rahmatullah dalam usia yang masih muda, di saat anak anak dan suami masih memerlukan belaian kasih sayangnya?

Dan seperti luahan rasa bapanya, pemergian anak kesayangannya itu adalah berita yang paling sedih dalam hidupnya sehingga timbul ayat, sepi sesepinya.

Dan kita dapat memahami betapa luluh hati dan perasaannya saat itu, hanya Tuhanlah yang tahu.

Bertambah lagi duka bila abang Siti juga sedang bertarung di ICU akibat Covid 19 ketika ini.

Kembali kepada fitrah, kita akhirnya redha dengan ketentuan takdir Tuhan walau ia pahit untuk ditelan. Inilah realiti sebuah kehidupan.

Siti adalah contoh dan ikon yang terbaik untuk diikuti, sikapnya, keluhuran budi dan kerendahan hatinya, juga habluminannas antara sesama.

Namanya akan tetap dikenang sepanjang zaman sebagai antara contoh Muslimah terbaik yang patut menjadi ikutan untuk generasi mendatang.

Belasungkawa untuk Siti Sarah Raisuddin yang kembali ke rahmatullah pada 9 Ogos 2021, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman

Al-Fatihah.


MEOR YUSOF AZIDDIN ialah seorang penulis dan pemuzik jalanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.