Skip to main
Logo Malaysiakini

Utamakan rakyat untuk pilih PM baru, kata Yasin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yasin Sulaiman berharap semua pihak dapat bersatu ketika waktu getir ini dan mengetepikan perbezaan politik masing-masing untuk memilih perdana menteri kesembilan Malaysia.

Kata penyanyi dan komposer itu dalam keadaan negara berdepan dengan situasi getir akibat Covid-19 sekarang menjadi keperluan bagi semua pihak mengatasi kesusahan rakyat yang kian terhimpit.

“Amalkan toleransi untuk membuat pilihan terbaik. Seboleh-bolehnya ketepikan dulu kemaslahatan kepartian.

“Saya juga berharap akan ada semangat yang baik dan tiada perebutan kuasa hingga menjejaskan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Yasin menyatakan dia cenderung mahukan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru mengisi kekosongan yang ditinggalkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Harapan berkenaan, kata penyanyi Kerna Dia itu, adalah disebabkan dia melihat Anwar memang memiliki ciri yang layakan untuk memimpin negara.

“Anwar adalah pemimpin terbaik rantau ini dari segenap aspek,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohamad Yasin Sulaiman itu berkata demikian selepas mendedahkan ada beberapa rakan menyatakan mereka ‘menolak’ Anwar.

Yasin, 45, juga terkilan kerana orang yang menolak Anwar itu juga tidak tahu alasan sebenar mengapa mereka berfikiran sedemikian.

Justeru katanya, jika tidak menyukai seseorang biarlah berpada-pada dan bersandarkan pada alasan yang kukuh.

“Kalau tak suka seseorang tu biarlah atas sebab munasabah bukan kerana ikut-ikutan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin serta seluruh anggota kabinet dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Sementara menunggu ahli parlimen baru dilantik menjadi perdana menteri baru, Agong berkenan agar Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara.