Skip to main
Logo Malaysiakini

Fazura mohon maaf promosi tudung guna lagu tanpa izin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nur Fazura membuat permohonan maaf selepas sebuah kumpulan rock tempatan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap promosi produk terbaru keluarannya yang menggunakan karya mereka tanpa kebenaran.

Pelakon dan penyanyi itu berkata, pihaknya telahpun memadam lagu berkenaan daripada semua platform yang mempromosi tudung berkenaan.

“Saya dengan rendah hati meminta maaf kepada @deepset bagi pihak editor saya kerana menggunakan lagu anda tanpa kebenaran dalam video kempen terbaru kami.

“Kami menghargai anda menghubungi kami dan video telah dipadam dalam semua platform media sosial kami,” kata Fazura membalas ciapan kumpulan tersebut.

Terdahulu, Deepset melalui satu ciapan di Twitter menegur pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, 37, itu kerana menggunakan muzik mereka tanpa kebenaran terlebih dulu.

“Hai, untuk pengetahuan anda, muzik kami digunakan dalam iklan tanpa izin. Kami ingin kerjasama anda untuk keluarkan lagu tersebut daripada iklan tersebut,” ciap band itu.

Beberapa minit selepas Fazura, memuat naik permohonan maaf tersebut, Deepset kemudian menciap bagi mengucapkan terima kasih atas kerjasama diberikan isteri kepada pelakon Fattah Amin itu.

“Terima kasih pasukan Fazura untuk kerjasama diberikan. Kami berjaya selesaikan isu itu dengan baik,” katanya.