Skip to main
Logo Malaysiakini

'Menjenguk' Ibrahim Hussein bersama balai seni di Langkawi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muzium Ibrahim Hussien yang terletak di Pulau Langkawi mula musnah sedikit demi sedikit sebaik saja pelukis yang namanya dipilih untuk bangunan itu meninggal dunia.

Mungkin kerana tiada siapa yang benar-benar mengasihi apa yang beliau usahakan, maka setelah ketiadaanya, muzium dan yayasan yang dumulakan itu lemas lalu perlahan-lahan mati.

Dari suatu tempat yang memberi insprasi, yang menjanjikan kegemilangan seni negara, suatu impian seorang seniman yang mahu melihat masyarakatnya berbudaya dan membuka mata anak bangsanya tentang betapa dengan sedikit kerja keras, kita semua mampu untuk  merealisasikan angan-angan yang dianggap gila oleh kebanyakan orang, muzium itu kini tinggal tiang.

Sebahagian besar kawasan tersebut juga telah menyerah diri kepada alam.

Siapa pun yang melihat akan berasa hiba apabila sebuah kegemilangan kemudian jatuh dan akhirnya mati sebegitu rupa.

Ibrahim adalah suatu nama besar dalam dunia seni catan. Karya-karyanya sentiasa mengoncang minda. Lukisan seperti Ayahku Dan Angkasawan, 13 Mei serta Kemelut, misalnya, mengambarkan betapa seniman bernama Ibrahim peka dan mengambil hati atas apa saja yang berlaku di tanah air yang dicintainya.

Perjuangan beliau dalam alam seni catan sentiasa menjadi rujukan para pelajar dan pengkaji di negara ini. Karya-karya Ibrahim kini sudah tidak ternilai harganya dan sentiasa menjadi buruan.

Lukisan Ibrahim juga agak sukar untuk dinikmati oleh para penggemar kerana kebanyakan hasil kerja beliau kini dimiliki oleh pengumpul persendirian.

Dibantu ramai seniman

Alangkah elok jika semua pengumpul itu bersatu dan membawa karya beliau ke dalam satu pameran khas bagi menghargai sumbangannya kepada negara.

Dilahirkan di Sungai Limau di Yan, Kedah, Ibrahim memang sudah dikenali mempunyai bakat luar biasa semasa di sekolah lagi. Beliau kemudin melanjutkan pelajaran ke Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) di Singapura.

Setelah itu beliau berkelana pula ke Byam Shaw School of Art dan Royal Academy School di London. Setelah itu Ibrahim pergi pula ke American Workshop di Vanice.

Semasa di luar negara, Ibrahim mengadakan pameran solonya yang pertama di John Whibley Gallery di London. Sejak itu beliau sentiasa mempamerkan karya dalam pelbagai pameran.

Semasa hayatnya Ibrahim mengadakan lebih daripada 20 pameran perseorang di samping beberapa pameran bersama seniman lain.

Hasil daripada pameran dan hubungan baik dengan seniman-seniman dari seluruh dunia, ketika datang ilham untuk membina sebuah muzium di Pulau Langkawi, beliau dibantu oleh hampir semua seniman itu.

Ilham yang tercetus pada 1992 itu akhirnya terlaksana apabila Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussien dibuka secara rasminya pada 2000.

Mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku, Balai Seni Negara cawangan Pulau Langkawi kini mengadakan sebuah pameran yang diberi nama sebagai Arkib: Archiving Ibrahim Hussien.

Pengunjung dihidangkan dengan karya seniman hebat itu di samping keratan akhbar dan sedikit momento peribadi beliau. Juga disediakan tayangan video.

Diharapkan pada masa akan datang lebih banyak karya seniman legenda ini dapat dipamerkan untuk dinikmati oleh pengemar seni. Tahniah kepada Balai Seni Negara yang mengusahakan perhargaan berkenaan kepada Ibrahim.