Skip to main
Logo Malaysiakini

Dayana Roza syukur bayi lahir pramatang kian sihat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Dayana Roza bersyukur keadaan anak sulungnya yang dilahirkan secara pramatang lebih sebulan lalu kini semakin sihat.

Dayana yang baru berkongsi berita gembira itu hari ini berkata, bayi diberi nama Astrid Raheeya tu dilahirkan secara normal dengan berat 2.4 kilogram pada jam 11 malam di sebuah hospital swasta di ibu kota, 20 Julai lalu.

"Keadaan hingga saat ini semua terkawal. Alhamdulillah keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya okey,” katanya.

Kata Dayana atau nama penuhnya Nur Dayana Kamsun Baharin itu, dia sepatutnya melahirkan Astrid Raheeya bulan depan.

Namun, menurut isteri kepada A'dale Adham Ayahudin itu, perihal lahir tidak cukup bulan sebenarnya sudah sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupannya.

“Saya sendiri lahir tak cukup bulan. Malah adik saya pun mengalami situasi sama seperti saya dan anak.

“Justeru, memang saya rasa tak pelik. Cuma saya amat bersyukur tak ada komplikasi apa-apa dekat anak saya,” katanya.

Dayana dan A'dale bernikah pada 25 Disember tahun lalu.

Tarikh kelahiran Astrid Raheeya juga jatuh pada sambutan Aidiladha lalu.

Dayana bersama suaminya,  A'dale Adham Ayahudin

Lebih melucukan, sebelah siang sebelum melahirkan anaknya, Dayana, 30, mengaku dia begitu rancak menikmati hidangan raya.

“Saya bedal macam-macam termasuk lemang, rendang dan sebagainya. Sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital, saya sebenarnya alami pendarahan. Tapi taklah teruk sangat.

“Hinggalah membawa ke malam saya selamat melahirkan anak. Pada awal timbul juga perasaan takut sebab lahir tak cukup bulan.

“Bimbang apa-apa terjadi, tapi semua baik-baik saja. Seminggu juga saya bermalam di hospital,” katanya lagi

Pada masa sama, pelakon yang bakatnya digilap melalui program Anak Wayang itu juga berkongsi mengenai emosinya yang tidak stabil sewaktu hamil.

“Nasib baik emosi tak terbawa-bawa lepas saya melahirkan anak. Masa berbadan dua, saya akui agak stres.

“Namun, saya tak pasti adakah ia mempunyai kaitan dengan situasi semasa Covid-19 atau kerana perkara lain.

“Memang tak dinafikan, banyak perkara bukan-bukan muncul dalam fikiran pada waktu itu.

“Apa pun, saya ingin berehat betul-betul dan beri tumpuan sepenuhnya pada anak. Saya harap suami tak cemburu pula,” katanya berseloroh.