Skip to main
Logo Malaysiakini

Amir Hasan gesa henti caci arwah bapa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi Amir Hasan menggesa netizen berhenti daripada mengaitkan keluarganya susulan namanya terpalit kes penyelewengan wang Andi Bernadee hampir RM70,000 yang diadukan ke pihak polis semalam.

Kata Amir, nama arwah bapanya, Abu Hasan Abdul Aziz dan ibunya, menjadi sasaran pengguna Internet akibat tuduhan yang dimulakan seorang pengguna TikTok sejak semalam.

“Memang orang nampak seperti sayalah yang dimaksudkan Andi sebab tempoh perkenalan kami lebih kurang sama dalam 2, 3, tahun, tapi memang bukan saya.

“Arwah bapa saya juga dihina dengan pelbagai tohmahan gara-gara dakwaan terbabit seperti 'dia tak bagi duitkah' dan sebagainya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bapa Amir, meninggal dunia pada usianya 65 tahun.

Tambah Amir, sampaikan ibunya, Malizah Malek, 60, yang tinggal di Raub naik risau sebaik dimaklumkan dengan kejadian yang berlaku.

“Saya anak tunggal dan ibu menetap jauh dari saya. Dia baru telefon tadi sebab risau keadaan saya tiba-tiba dituduh perkara tak berasas,” katanya.

Terdahulu, portal ini menyiarkan syarikat rakaman Warner Music Malaysia dalam satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa Amir, 24, adalah individu yang terbabit dalam kes penyelewengan wang tersebut.

Andi semalam mengatakan duitnya yang sepatutnya diterima sejak Jun lalu disonglap rakan yang dikenali dalam tempoh dua tahun. 

Untuk rekod, Amir dan Andi bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama.

Menurut Warner Music, susulan tuduhan tersebut, akaun Instagram Amir menjadi sasaran serangan netizen sejak kes itu disiarkan di dada media semalam. 

Amir berharap, tiada pihak menuduhnya lagi dan menggesa mereka menyelidik semua fakta sebelum menuding jari kepada seseorang berkaitan sesuatu isu.

Pesan Amir kepada pengguna alam maya supaya jangan mengumpul dosa dengan membuat tuduhan membuta tuli.

“Saya tidur lewat sebab ramai yang Direct Message saya di Instagram bermacam-macam. Insya-Allah, perkara yang sebenar akan menjernihkan situasi ini tidak lama lagi.

“Namun saya harap netizen berhenti melemparkan tuduhan macam ni. Ni semua sebab mereka tak selidik sesuatu perkara dengan mendalam.

“Jangan main tuduh, main fitnah, tambah dosa,” katanya.