Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Menanti 'keadilan' buat Studio Merdeka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Ramai pernah melihat gambar P Ramlee bersama rakan seperjuangannya ini. Bagaimanapun ramai yang tidak tahu lokasinya di mana dan siapakah individu dalam gambar berkenaan.

Kalangan pengkaji filem sedia maklum di sisi Seniman Agung itu ada tauke dan pengarah filem Studio Merdeka iaitu Ho Ah Loke, L Krishnan dan Salleh Ghani.

Namun ramai yang tidak tahu tarikh sebenar gambar itu dirakam. Apatah lagi dalam gambar berkenaan majoritinya sudah meninggal dunia, kecuali seorang lelaki Jepun.

Siapa pula lelaki Jepun diapit P Ramlee dan Ho Ah Loke itu?  

Gambar berkenaan saya - selaku salah seorang panel - kongsikan pada penghujung program Sembang Santai Ogos anjuran Finas baru-baru ini dengan tajuk perbincangan Imbas Kembali: Dari Jalan Ampas Ke Studio Merdeka.

Selama dua hari berturut-turut panel membicarakan topik berkenaan secara maya. Salain saya turut menjadi panel ialah Fauziah Ahmad Daud,  Anwardi Jamil Sulong dan Khir Rahman. Juruhebah terkenal, Fara Fauzana pula bertindak selaku moderator.

Program bersempena bulan kemerdekaan itu juga mengundang pelbagai tokoh filem tanah air mengutarakan topik Imbas Kembali: Dari Jalan Ampas Ke Studio Merdeka pada 14 dan 15 Ogos, Sembang Box Office: Filem Melayu Hit Dulu Dan Kini (20 & 21 Ogos), Bicara Nostalgia: Seniman Dan Seniwati Filem Melayu (27 & 28 Ogos) dan Apresiasi Filem: Kita Dan Filem Patriotik (30 & 31 Ogos).

Khir dan Fara mendesak diperincikan gambar itu, tetapi apa yang diperjelaskan cuma penjumpaan karyawan filem dalam gambar itu penting untuk kelangsungan filem Melayu.

Mesra bersama 'musuh ketat'

Empat daripada mereka yang ada dalam gambar tersebut ialah tunjang Persatuan Filem Produser Malaysia Bersatu (FPMB) yang pernah mendesak kerajaan mengenakan kuota kemasukan filem asing dan larangan pemilik pawagam memiliki studio sendiri dan menerbitkan filem.

Kesemua mereka itu tidak berkhidmat di Studio Merdeka ketika gambar berkenaan dirakam. Perjumpaan itu cukup dramatik kerana diadakan di luar Kuala Lumpur dan mereka terpaksa menaiki feri sebelum tiba di lokasinya iaitu rumah salah seorang tokoh.

Siapa pula tokoh  berkenaan hinggakan karyawan penting dunia filem sanggup bertandang ke kediamannya? Lebih menarik, pada gambar itu terukir kemesraan P Ramlee bersama karyawan filem asal Cathay Keris. 

Walhal pada era kemuncak filem Melayu di Singapura, P Ramlee dari Malay Film Productions (MFP) yang bernaung di bawah syarikat Shaw Brothers adalah ‘musuh ketat’ Cathay Keris.

Tidak hairanlah apabila Persatuan Artiste Malaya (Persama) ditubuhkan dan P Ramlee menjadi presiden, majoriti bintang Cathay Keris tidak menyertainya, kecuali Salleh Ghani yang dilantik sebagai setiausaha.

Takdirnya apabila Singapura bukan lagi menjadi lubuk filem Melayu, Studio Merdeka menjadi majikan baru mereka.

Salah satu adegan filem Adik Manja

Melalui program dua jam baru-baru ini, saya menyarankan agar sebuah biografi berkaitan Studio Merdeka diterbitkan. Penghasilan biorafi itu bukan sahaja menambahkan khazanah seni negara, tetapi boleh dijadikan rujukan buat generasi akan datang agar mereka mengerti perjuangan karyawan awal Studio Merdeka ke arah pembentukan filem Malaysia, penubuhan Finas, seterusnya kejayaan kerajaan mengambil alih tapak Studio Merdeka.

Tidak seperti tapak MFP di Jalan Ampas yang enggan dijual oleh Shaw Brothers.

Dua studio gergasi di Singapura menutup operasi tatkala filem Melayu tidak laku. Berbeza dengan Studio Merdeka yang mengakhiri eranya dengan filem cukup gemilang dengan Adik Manja pada 1980.

Filem arahan Othman Hafsham itu mencatat kutipan pecah panggung (box office) dan membawa imej baru filem berjiwa Malaysia.

Memerah keringat di tempat baru 

Jika dijadikan kenyataan projek biografi Studio Merdeka itu boleh diisi dengan pelbagai informasi menarik, tidak diketahui ramai dan bermanfaat untuk dikongsikan. Umpamanya :

(i) Siapakah Ho Ah Loke, tauke Cathay Keris dan Studio Merdeka yang turut berjuang bersama bagi menyelamatkan filem Melayu selaku Presiden FPMB sejak 1966

(ii) Kenapa filem Tun Teja dikurniakan Tayangan Perintah Diraja

(iii) Siapa karyawan filem terawal yang memerah keringat di Studio Merdeka

(iv) Ke mana hilangnya filem arahan pertama P Ramlee iaitu Si Tora Harimau Jadian

(v) Siapa individu bernama M Maroeti dan Fred Young yang menjadi pengarah filem di Studio Merdeka

(vi) Mengapa selepas filem Loceng Maut pada 1977, Studio Merdeka tidak lagi menerbitkan sebarang filem

(vii) Filem Hollywood manakah menggunakan lokasi Studio Merdeka pada 1963

(viii) Siapakah dua pelakon Studio Merdeka meraih anugerah di Festival Filem Asia Pasifik

(ix)  Mengapa kerajaan menempatkan ibu pejabat Finas di Studio Merdeka

(x) Perjuangan seniman seniwati Studio Merdeka masih berterusan sehingga kini

Sebenarnya agak berlebihan untuk terus-menerus mengait filem Melayu terhad hanya dengan memetik nama Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris.

Banyak artikel, buku dan dan forum bertajuk Jalan Ampas diguna pakai, sedangkan industri perfileman Malaysia sehingga tertubuhnya Finas digerakkkan oleh karyawan filem dari Studio Merdeka.

Terpisah jauh dari keluarga

Kita harus berterima kasih pada karyawan filem terawal Studio Merdeka kerana mereka sanggup meninggalkan kesenangan di Singapura untuk bekerja di studio baru yang serba kekurangan dan - ketika itu - berada di dalam hutan rimba.  

Apabila Studio Merdeka beroperasi, Zoo Negara dan taman perumahan belum pun ada ketika itu. Namun karyawan filem terawal itu rela memerah keringat di studio baru berkenaan tanpa mengetahui dengan pasti untung nasib masing-masing.

Studio Merdeka itu diusahakan Ho Ah Loke dan HM Shah menerbitkan filem pertama, Tun Teja, arahan L Krishnan pada 1960. Filem kedua yang menyusul ialah Abu Nawas arahan AR Tompel pada 1961.

Oleh kerana Abu Nawas itu kurang sambutan, AR Tompel tidak lagi diberi peluang mengarah filem sesudah itu. Dari 1961 hingga 1964, Studio Merdeka bergantung kepada dua pengarah asal Cathay Keris Filem iaitu L Krishnan dan Salleh Ghani.

Sepanjang sejarahnya L Krishnan mengarah lima filem sementara Salleh Ghani enam filem, manakala pengarah dari Indonesia, M Maroeti dan Freedy Young masing-masing mengarah satu filem.

Pengarah dan pelakon filem terawal di Studio Merdeka bukan saja berhadapan dengan peralatan studio tidak sempurna dan tenaga produksi yang masih mentah, tetapi ada antara mereka terpaksa berpisah dengan keluarga yang menetap di Singapura, termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

Othman Hafsham

Untuk ke Kuala Lumpur dari Singapura pada era 1960-an bukanlah mudah. Ketika itu tiada lebuh raya. Pun begitu langkah mereka berpindah ke Kuala Lumpur adalah tepat kerana lima tahun selepas Studio Merdeka beroperasi, Singapura keluar daripada Malaysia.

Dua tahun kemudian studio MFP di Jalan Ampas pun berhenti menerbitkan filem Melayu.

Perjuangan karyawan filem Studio Merdeka - sama ada pengarah, pelakon dan tenaga produksi - adalah lebih panjang dan berliku berbanding di Jalan Ampas dan Cathay Keris.

Nama seperti seniwati Sophia Ibrahim, Norlia Ghani, Ruminah Sidek, Dayang Sulu, Arman Yadi, Yusof Haslam, Uji Rashid, Hail Amir, Aziz M Osman, Dharma Harun Al-Rashid dan Othman Hafsham antara produk Studio Merdeka masih menyumbang keringat.

Bahkan ramai bintang Studio Merdeka itu berlakon ke akhir hayat seperti Sony Abdullah, Mahyon Ismail, Hussein Abu Hassan, Tamam Idris, Latiff Borgiba dan Zulkifli Zain.

Malang apabila kita berkunjung ke Kompleks Studio Merdeka di Hulu Klang, nama-nama seniman dan seniwati Jalan Ampas dan Cathay Keris lebih ramai diabadikan dalam bentuk plak di Layar Bintang.

Memang tidak ada salahnya mengenang jasa mereka itu semua, tetapi berlaku adillah pada pelakon dan pengarah Studio Merdeka.


ADAM SALLEH ialah bekas pengarang hiburan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.