Harapan besar anak seni menanti Annuar di KKMM
Penggiat seni meletakkan harapan tinggi pada kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini khususnya, terhadap Annuar Musa yang diberi berperanan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London mencadangkan dengan pelantikan itu Annuar wajar memperkemas hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan wawasan dan pendekatan baru yang lebih dinamik.
“Tahniah kepada Annuar Musa. Semoga dia mesra dan prihatin terhadap persatuan serta warga seni.
“Kami berharap perbincangan dengan persatuan-persatuan boleh diadakan sebelum dasar-dasar baru dilaksanakan,” katanya kepada Malaysiakini.
Selain Annuar, Ismail Sabri turut melantik semula Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Menteri di KKMM.
Untuk menjayakan matlamat dan dasar-dasar baru itu, Ahmad turut berharap pelantikan berkenaan dapat membawa pembaharuan segar pada tampuk kepimpinan Finas yang ada.
“Kepimpinan Finas harus dirombak dengan meletak orang-orang yang lebih berkebolehan sebagai lembaga pengarah (BOD).
“Wakil persatuan kreatif juga perlu dilantik dalam BOD selain calon-calon tersebut mestilah orang yang tiada kepentingan dalam perniagaan berkaitan perfileman,” katanya.
Ahmad pada masa sama berkata, jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Finas perlu dikembalikan kepada pegawai tadbir dan diplomatik dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Antara sebab utamanya ialah jika pelantikan itu dari JPA, Finas dapat membuat perancangan jangka panjang, tapi jika lantikan secara kontrak, ia agak terhad.
“Kedua, pegawai tersebut lebih terlatih dan tiada konflik kepentingan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, berkata dalam 100 hari bekerja sebagai menteri, Annuar diharapkan dapat membantu meringankan beban anak seni yang tidak dapat bekerja serta kehilangan punca pendapatan akibat wabak Covid-19.
“Perlu diwujudkan pelan jangka pendek dan panjang dalam membangunkan industri kreatif negara. Keutamaan adalah kebajikan untuk anak seni dalam masa 100 sebagai menteri,” katanya.
Selain itu, Jurey berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan anak-anak seni yang berpengaruh untuk dasar dan penyebaran maklumat bagi mewujudkan peluang pekerjaan buat penggiat seni ketika tempoh pengekangan penularan Covid-19.
“Selama ni tiada pembabitan antara KKMM dan industri untuk bekerjasama menyediakan bahan atau kempen dasar-dasar kerajaan.
“Bagi PTVM, ini dapat membantu dari segi sumber pendapatan dan peluang pekerjaan,” katanya.
Jurey berkata, PTVM turut berharap Tabung Khas Anak Seni dapat diwujudkan agar membantu membela nasib penggiat industri terutama ketika situasi Covid-19 belum reda.
“Ia bersifat ad hoc. Kami tak mahu anak seni nanti merayu sana sini akibat kesukaran disebabkan ketiadaan sumber pendapatan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai