Skip to main
Logo Malaysiakini

Dafi belajar 'pekakkan telinga' hadapi cabaran baru sebagai anak PM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Kini 'menggalas' status berprofil tinggi iaitu sebagai anak perdana menteri kesembilan Malaysia, Dafi sedar ada cabaran berbeza di hadapannya.

Pun begitu, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, dia yakin sudah bersedia secukupnya bagi menghadapi cabaran berkenaan.

Menurut Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri, sebelum ini pun nama bapanya itu sudah sering dikaitkan dengannya secara tidak langsung, justeru dia agak sudah terbiasa dengan situasi seperti itu.

“Pasti akan ada pihak mengaitkan nama ayah dengan karier yang diceburi, tapi saya sudah bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi.

“Selama ni juga saya dah biasa terdengar orang berkata: dia macam tu, macam ni, sebab ayah dia.

“Tapi, apa yang boleh saya lakukan ialah harus bekerja keras. Saya juga kena belajar untuk pekakkan telinga serta berikan hasil yang terbaik ikut kemampuan diri,” katanya kepada Malaysiakini.

Ismail Sabri merupakan ahli parlimen Bera selama tiga penggal iaitu sejak 2004. Dia meniti kerjaya politik dari bawah dan mula menjadi anggota kabinet sejak memenangi kerusi berkenaan.

Perlu lebih berhati-hati

Bermula sebagai menteri belia dan sukan Ismail Sabri kemudian bertukar beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam parti kedudukan terkini Ismail Sabri ialah sebagai naib presiden Umno dan sempat menjawat tugas sebagai timbalan perdana menteri sebelum dilantik menjadi perdana menteri tidak sampai 50 hari kemudian.

Meskipun bapanya diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan penting dalam negara, Dafi, 32, berkata dia akan kekal seperti Dafi yang dulu kerana apa yang dicapainya adalah hasil kerja keras sendiri.

“Insya-Allah, saya akan kekalkan menjadi diri sendiri. Saya juga jarang bercakap mengenai politik malah sedar ada kalangan peminat yang memiliki fahaman politik yang berbeza.

“Justeru, saya tidak mahu cakap berlebihan mengenai sesuatu yang bukan bidang saya. Saya cuma tak mahu cetuskan perkara yang tak wajar,” katanya.

Ditanya jika timbul kebimbangan andai terdapat mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan dengan mendekati dirinya ketika ini, Dafi berkata, dia perlu berhati-hati.

Jelasnya, individu yang cuba mengendeng memang wujud, cuma dia akan sentiasa menjauhkan diri daripada sesiapa yang bersikap atau membawa aspek negatif.

“Semasa ayah disebut-sebut akan jadi perdana menteri, berita belum sah lagi, baru khabar angin saja, dah mula (dihampiri individu yang mengendeng).

“Tapi sejujurnya saya tak kisah asalkan dia datang secara baik," katanya.

Tambah Dafi beberapa tahun lalu pun dia pernah berdepan dengan situasi sama apabila ada individu yang mahu 'menumpang tuah' daripadanya.

Namun katanya dia selalu berhati-hati dan akan menjarakkan diri apabila muncul sesuatu yang membuatkan rasa tidak selesa atau mengesan tiada keikhlasan daripada mereka.

Sementara itu, mengulas perkembangan kerjaya seninya, Dafi berkata, dia kini membintangi filem komedi seram, Ada Hantu, arahan Hairul Azreen yang ditayangkan di platform digital, Disney+ Hotstar.

Selain itu, menurutnya, sebelum penularan wabak Covid-19, dia juga sudah merakamkan single terbaru bersama Altimet. Bagaimanapun ia tidak sempat dilancarkan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila PKP dilaksanakan, ia menghalang saya untuk keluarkan single tersebut begitu saja. Tambahan pula saya sudah lama tak aktif dalam industri.

“Saya berasakan perlu lakukan strategi promosi terlebih dulu. Sasaran saya adalah untuk menerbitkan single tersebut selepas PKP,” katanya.