Skip to main
Logo Malaysiakini

'Orders' pamer luahan rasa semasa PKP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selama bertahun-tahun, seni menjadi wadah untuk manusia menyampaikan rasa dan pemikiran serta bersuara dengan cara tersendiri.

Justeru kerana itulah pelukis Muhammad Badrulzzaman percaya - sama seperti bidang lain - pandemik Covid-19 ini juga memberi kesan yang besar kepada seni.

Dalam suasana terkurung dek perintah kawalan pergerakan ini dia mengadakan pameran 'Orders' di Nafasyahdu Art Space di Batu Belah, Klang.

Sebagai tindak balas terhadap pandemik dan PKP, Badrulzzaman berasa ini adalah masa penting untuk merenung diri sendiri dan melihat bagaimana wabak itu mempengaruhi masyarakat.

Menyesuaikan diri dengan suasana pandemik yang tidak pernah dialami sebelum ini memang tidak pernah mudah, tetapi Badrulzzaman percaya ia adalah masa terbaik bagi para seniman memainkan peranan mereka.

Ia tidak semestinya mengenai virus yang mematikan itu tetapi juga kesan negatif yang dibawanya.

Orders merangkumi pelbagai isu yang relevan kepada sema termasuk politik, agama, kesihatan, dan refleksi diri yang diterjemahkan ke atas kanvas untuk dinikmati.

Badrulzzaman menggunakan bitumen dan cat minyak sebagai medium utama dan dia sengaja membataskan warnanya dalam karya untuk memberi penekanan terhadap subjek dan kisah yang diceritakan.

Antara karya yang menarik dan membawa tema semasa ialah Freedom yang memaparkan Lady Liberty memegang botol vaksin dengan dua jari dan mengangkatnya ke udara, Parlimen, Di Awang-awangan, dan siri Sekolah Tutup.

Secara keseluruhan sebanyak 41 karya yang semuanya dihasilkan semasa pelaksanaan PKP dipamerkan. Pameran Orders berlangsung dari 21 Ogos sehingga 31 Ogos.