Skip to main
Logo Malaysiakini

Oksigen dah stabil, cuma Aishah kejap bangun kejap tidur

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas dirawat di hospital kerana Covid-19 sejak 30 Ogos lalu, Aishah memberitahu, kini bacaan oksigennya bertambah baik apabila berada pada paras 96 peratus.

Menjelaskan keadaan terkininya dari Hospital Ampang penyanyi itu berkata, walaupun begitu dia masih belum dapat memberi respons kepada WhatsApp, panggilan telefon dan sebagainya ekoran keadaannya yang“kejap, kejap bangun, kejap, kejap, tidur.”

“Alhamdulillah, semalam selepas sampai sini (Hospital Ampang), saya terus diberi oksigen. Selepas pihak hospital ambil bacaan oksigen, kadarnya meningkat kepada 96 peratus.

“Tapi kepada semua wartawan, saya minta maaf tidak dapat jawab panggilan dan soalan anda.

"Saya sekejap bangun dan sekejap tidur, justeru, saya harap anda faham,” katanya di Instagram malam tadi.

Penyanyi Keindahan Yang Berlalu itu dilaporkan positif Covid-19 selepas melalui prosedur kit ujian pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus.

Mengulas lanjut, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu berkata, tubuhnya juga mula menunjukkan perkembangan positif selepas diberi antibiotik.

“Ni berkat doa kawan-kawan, peminat dan pengikut saya. Alhamdulillah, saya rasa lebih baik sekarang.

“Saya boleh ketawa seperti saya ketawa mengenai ambulans yang ‘terbang’ semalam. Saya juga dah disuntik antibiotik. Sekarang, saya okay... Insya-Allah,” katanya.

Aishah, 56, yang turut popular dengan lagu Janji Manismu itu berkata, kini dia mahu memanfaatkan tempoh rawatan di hospital untuk berehat dengan secukupnya.

“Biasalah orang perempuan, selagi berada di rumah macam-macam benda nak dibuat. Apabila masuk hospital baru dapat berehat,” katanya melalui video berdurasi 37 saat itu.